Pandu Uji: GR Corolla - kereta sports DNA tulen Toyota

oleh Mohamad Hanif|
Ketika hot hatch GR Yaris mula mendarat di pasaran Malaysia, ia merupakan antara model pantas Toyota yang mampu memberikan kesan yang mendalam buat diri penulis.

Ia tampil dengan pakej yang serba lengkap - rupa paras yang sporti, tiga pintu (kedekut penumpang), serta kuasa dan pengendalian yang lincah yang mampu memalukan (hot) hatchback buatan Malaysia.

Namun ada dua kekurangan yang wujud pada GR Yaris: ia hadir dalam unit yang sangat terhad, dan dimaklumkan kesemua slot yang diperuntukkan untuk pasaran Malaysia telah habis terjual.
 

GR


Satu lagi, hot hatch tiga pintu bukanlah satu model yang sesuai untuk pemanduan harian, apatah lagi untuk mereka yang memiliki ruang garaj yang terhad.

Bila mana model GR Corolla yang lebih besar sah masuk Malaysia, penulis mula terbayang ini mungkin sekali model yang sesuai untuk menggantikan GR Yaris.
 

GR


Namun, sesuai atau tidak GR Corolla ini dijadikan sebagai kereta belasahan harian?

Ya, ia adalah sebuah hot hatch yang praktikal.

Tidak seperti GR Yaris, GR Corolla membawakan ukuran dimensi yang jauh lebih besar, dan lebih praktikal dengan lima bukaan pintu disediakan standard dari kilang.
 

GR


Bermakna, penumpang boleh masuk dan keluar dari bahagian belakang dengan mudah dan menikmati perjalanan yang selesa walaupun tiada corong pendingin hawa pada baris kedua.

Selesa merupakan satu perkara yang subjektif, tidak semua orang suka dengan pemanduan kereta sports.

Tapi tetapan suspensi standard GR Corolla sudah lebih daripada memadai untuk memastikan penumpang kekal selesa sepanjang masa. Tidak terlalu lembut, tapi mampu memastikan hot hatch ini melekat dengan baik di selekoh.
 

GR


Selain daripada itu, GR Corolla juga ada ruang yang mencukupi (213 liter) untuk membawa barang balik ke kampung.

Sekali-sekala terlintas di hati nak membeli belah di pusat perabot terkemuka pun tiada masalah.

Lipat saja tempat duduk belakang untuk menyediakan ruang kargo yang lebih besar.
 

GR


Dari tempat pemandu, penulis dapat rasakan tempat duduk standard yang diberikan adalah lebih daripada mencukupi.

Ia memegang erat pemandu sepanjang pemanduan, dan tidak pula rasa penat walaupun kaki kiri ada kalanya bosan menekan klac dengan kerap.

Sebut pasal klac, operasinya tidaklah keras seperti yang disangkakan. Sangat sesuai untuk mereka yang mementingkan kesejahteraan kaki kiri.
 

GR


Lontaran tombol gear juga sangat kemas dan tepat, malah jauh lebih sedap berbanding sedan bertransmisi manual milik penulis buatan Malaysia itu.

Cuma, penulis sukar untuk melakukan teknik heel and toe semasa menukar posisi gear yang lebih rendah, disebabkan oleh jarak pedal pendikit dan brek yang agak jauh.

Mujur GR Corolla ini lahir pada zaman yang lebih moden, ia kini dilengkapi dengan fungsi rev-match (atau auto-blip), boleh diaktifkan dengan hanya menekan butang iMT setiap kali anda memulakan pemanduan.

Tak tahu fungsi rev-match? Sila google.
 

GR


Secara standard, GR Corolla membawakan tiga tetapan sistem pacuan dan mod pemanduan yang boleh dipilih mengikut keperluan.

Terdapat mod Sport (pemanduan sporti dan paparan skrin berbeza), Normal dan Eco untuk membenarkan enjin tiga silinder itu mencicip RON97 seakan menikmati kopi panas di waktu pagi.

Pemandu juga boleh menentukan nisbah agihan daya kilas untuk setiap gandar, iaitu Normal (60:40), Sport (30:70) dan Track (50:50).
 

GR


Biarpun sengaja membiarkan GR Corolla ini di dalam mod pemanduan Eco (talaan enjin yang sopan) dan nisbah agihan tork 60:40, kuasa yang dihamburkan oleh nadi tiga silinder itu masih lagi boleh dinikmati oleh pemandu di atas jalan raya.

Bagi penulis, ia sudah lebih daripada mencukupi, memandangkan penulis tidak mahu diri ini dirasuk sehingga hilang kawalan dan menyusahkan ribuan pengguna yang kebetulan mahu pulang ke kampung halaman pada hujung tahun.

Penulis juga tidak mahu menguji kelajuan tertinggi yang mampu dicapai oleh GR Corolla, kerana berpendapat ia tidak lebih daripada sekadar modal sembang di kedai kopi semata-mata (ayat daripada seorang otai yang amat penulis kagumi).
 

GR


Cuma apa yang penulis rasakan, tempat GR Corolla ini bukanlah di atas lebuh raya yang lurus, sebaliknya karakter sebenar hot hatch ini mula terserlah dengan jayanya di laluan yang berselekoh, seperti contoh Lebuhraya KLK.

Sistem pacuan semua roda GR-Four memastikan keempat-empat tayar menggigit jalan dengan baik pada setiap julat kelajuan, diikuti dengan sistem brek yang cukup berkesan, dan respons roda stereng yang sangat jitu dan patuh pada arahan pemandu.

Selain daripada itu, penggunaan getah Yokohama ADVAN Apex pada keempat-empat sudut bukan sahaja cemerlang di atas jalan kering, malah stabil dipandu pada had kelajuan kebangsaan ketika menempuh cuaca hujan sepanjang perjalanan ke utara.
 

gr


Penulis juga suka dengan sistem ekzos standard yang dibekalkan pada GR Corolla ini. 

Ia tidaklah nyaring dan memekakkan seperti kereta-kereta acah pantas di luar sana, akan tetapi mampu menghasilkan bunyi bass yang kedengaran merdu sewaktu pemanduan perlahan, mengaum apabila dikerah, dan beransur-ansur senyap tatkala kelajuan cruising dicapai.

Ada ketika, penulis juga sengaja mencari laluan off-road ringan untuk menguji pengendalian hot hatch yang memiliki persamaan DNA dengan GR Yaris yang lahir dari dunia rali.

Masuk mod Normal, tukar agihan tork kepada 30:70. Ternyata GR Corolla terasa lebih hidup di atas laluan tersebut dan masih lagi boleh dikawal dengan baik walaupun ada ketikanya ekor sudah mula membuang geli-geli di belakang.
 

GR


Pendek kata, GR Corolla ini merupakan jawapan sebenar yang penulis cari pada segmen hot hatch era moden yang rata-ratanya bertransmisi automatik.

Ya, kereta sebegitu memang pantas, amat mudah untuk dikawal, dan kemudian bosan sebab terlalu mudah untuk dipandu.

Perasan yang sukar untuk didapati pada model bertransmisi manual, di mana anda tidak akan rasa bosan walaupun terpaksa memandunya setiap hari.
 

GR


Kadar penggunaan bahan api juga sebenarnya sangat bergantung kepada corak pemanduan, dan paling penting mod pemanduan yang dipilih.

Berdasarkan ujian penggunaan bahan api yang dibuat guna mod Eco, penulis berjaya menamatkan pemanduan sejauh hampir 400 km dengan hanya menggunakan setengah tangki bahan api (7.0L/100 km).

Jimat atau tidak, anda yang tentukan, kerana GR Corolla dengan enjin tiga silinder G16E-GTS itu masih lagi memerlukan suapan bahan api yang premium.
 

GR


GR Corolla juga bukanlah sebuah hot hatch yang sempurna segenap sudut.

Ada dua benda yang membuatkan penulis keberatan untuk membelinya (itu pun jika ada duit yang mencukupi).

Satu daripadanya ialah pemanduan yang dirasakan kurang lincah jika dibandingkan dengan GR Yaris, berkemungkinan besar disumbangkan oleh fizikal badan yang lebih berat.
 

GR


Kedua, enjin tiga silinder G16E itu kurang karakter.

Penulis tidak bermaksud untuk mengecilkan kemampuan enjin kecil ini walaupun atas kertas GR Corolla ini memang kalah dengan keupayaan Civic Type R FL5 (315 PS, 420 Nm).

Apa yang penulis maksudkan ialah nadi tiga silinder turbo itu tidak mempunyai runut bunyi yang mengujakan, seperti yang wujud pada enjin 4A-GE atuknya Corolla Sprinter Trueno AE86.

Ya, ia menderum apabila dikerah, akan tetapi irama yang kedengaran dari dalam kabin itu seakan ngauman seekor harimau yang baru disunatkan, kuat tapi tidak bertenaga untuk dinikmati oleh telinga.
 

GR


Di penghujung hari, GR Corolla merupakan sebuah hot hatch moden dengan transmisi manual yang boleh dibeli baharu dari UMW Toyota, lengkap dengan jaminan dan harga jualan yang masih lagi munasabah (RM355,000).

Ia tidak memerlukan kelengkapan moden yang terlalu kompleks, akan tetapi masih lagi mampu menawarkan kualiti pemanduan yang mengujakan pemiliknya.

Akhir kata, ucapan ribuan terima kasih harus diberikan kepada Morizo (a.k.a Akio Toyoda) dan pasukan GAZOO Racing kerana bertungkus lumus untuk menawarkan sebuah produk dengan DNA Toyota yang tulen.
 

GR


Spesifikasi ringkas Toyota GR Corolla:
Enjin G16E-GTS tiga silinder sebaris, turbo
Sesaran 1,618 cc
Kuasa 300 PS @ 6,500 rpm
Daya kilas 370 Nm @ 3,000-5,550 rpm
Transmisi manual enam kelajuan iMT
Sistem pacuan semua roda GR-Four
Tiga mod pemanduan: Sport, Normal, Eco
Tiga mod AWD: Normal (60:40), Sport (30:70), Track (50:50)
Harga: RM355,000

 

Berita Berkenaan

Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…
Informasi
Sejak dilancarkan pada penghujung April, PEUGEOT 408 telah menerima maklum balas positif dengan…
Kereta
Mungkin ada beberapa “luahan” penulis sedikit tidak sependapat dengan segelintir pembaca, kerana CX…