Menurut laporan Kosmo, Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Fisol Salleh berkata, "Op ini melibatkan kekuatan anggota seramai 1,081 orang terdiri daripada 149 pegawai dan 932 anggota, dan akan turut dibantu dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lain-lain.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Operasi ini juga akan ditumpukan di kawasan-kawasan titik panas yang telah dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan mat-mat rempit.
“Kita telah kenal pasti 12 hotspot yang menjadi lokasi mat-mat rempit ini berkumpul dan melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Selain daripada 12 kawasan hotspot ini, kami juga akan menjalankan operasi di lain-lain lokasi dan menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal-motosikal yang diubah suai dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, tindakan sitaan kenderaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan diambil sekiranya pemilik motosikal didapati mengubahsuai motosikal secara haram.
Dalam pada itu, katanya, sepanjang Januari hingga Disember tahun ini, seramai 108 mat rempit telah ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
”Operasi samseng jalanan ini akan berterusan sepanjang tahun 2023 dengan menumpukan pemeriksaan di bengkel-bengkel haram yang menjalankan kegiatan modifikasi tanpa kebenaran,” katanya.
Sumber: Kosmo