Nahas skuter elektrik meningkat di Jepun selepas peraturan dilonggar

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Purata kemalangan bulanan melibatkan skuter elektrik meningkat enam kali ganda di Jepun selepas negara ini membenarkan pengguna menunggangnya tanpa lesen memandu sejak Julai 2023, menurut data daripada Agensi Polis Nasional.

Pakar lalu lintas telah memberi amaran risiko kemalangan maut dengan peningkatan pengguna skuter ini dan kesedaran awam mengenai peraturan lalu lintas berkaitan bentuk pengangkutan baharu ini adalah rendah, lapor agensi berita Kyodo.

Dalam tempoh enam bulan sejak Julai lepas, 85 nahas lalu lintas melibatkan skuter elektrik dicatatkan dan mengakibatkan 86 kecederaan.

Ini hampir menyamai jumlah kemalangan dicatatkan dalam tiga tahun dan lima bulan sejak data perbandingan diperoleh pada Januari 2020 yang merekodkan 88 kemalangan dan 91 kecederaan.

Di bawah undang-undang lalu lintas yang disemak semula, pengguna skuter elektrik dengan kelajuan maksimum 20 kilometer sejam (kmj) tidak memerlukan lesen memandu tetapi remaja bawah umur 16 tahun dilarang daripada menunggangnya.

Di bawah undang-undang baharu skuter elektrik itu yang diklasifikasikan sebagai basikal bermotor kecil mestilah berukuran 190 sentimeter (sm) atau kurang dari segi panjang dan lebarnya 60sm atau kurang dengan lampu hijau di depan dan belakang. Ia digunakan di jalan raya tetapi boleh juga digunakan di kaki lima jalan dengan kelajuan enam kmj atau kurang dengan lampu hijau yang berkelip-kelip.

Sebelum ini, skuter elektrik diklasifikasikan sama sebagai moped dengan saiz enjin 50 sm padu dan penunggang perlu memiliki lesen memandu, memakai topi keledar dan kenderaan mereka didaftarkan serta dipasang plat lesen.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Namun, helah itu berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit Dua (…
Informasi
"Empat skuter elektrik diserahkan untuk kegunaan pasukan keselamatan di KLIA Terminal 1 dan 2,…
Berita Global
Mengikut spesifikasi, Lambretta Elettra 2024 ini datang dengan motor elektrik tunggal berkuasa 15…