Monorel Melaka - kini tinggal dalam kenangan?

oleh SALINA JALIL|
Perkhidmatan Monorel Melaka yang dahulunya menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini sebagai salah satu produk pelancongan paling menarik buat pelancong dari luar dan dalam negara, kini terbengkalai kerana tidak beroperasi.


Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, perkhidmatan monorel sepanjang 2.5 kilometer itu dilihat beroperasi namun menurut beberapa peniaga di Monorel Food Village, ia bergerak hanya pada masa tertentu.

 

Sejak PKP pertama dilaksanakan, perkhidmatan monorel yang mula beroperasi pada 2010 dengan kos RM16.5 juta itu tidak lagi dilihat bergerak menyusuri Sungai Melaka dan Kampung Morten.

 

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, dua gerabak itu kini tersadai di Stesen Monorel di persimpangan Tun Ali di sini manakala kaunter menjual tiket ditutup tanpa sebarang notis ditampal.

 

Monorel itu mengalami situasi menyedihkan sejak beroperasi apabila sebanyak 22 kali perkhidmatannya terhenti sepanjang 2011.

 

Dua insiden mencemaskan turut berlaku apabila 20 penumpang terperangkap di dalam gerabak pada 2010.

 

Pada 1 November 2011, dua pelancong Britain iaitu bekas anggota polis, James Craft, 57, dan isterinya, Anne Craft terperangkap hampir satu jam sebelum mereka diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

 

Sementara itu, beberapa penduduk pula melahirkan rasa terkilan dan sedih melihat monorel yang dulunya menjadi tarikan tetapi kini menjadi seperti projek gajah putih.

 

Seorang penduduk Kampung Morten, Sheikh Ali Shekih Abdullah, 64, mempersoalkan mengapa kerajaan negeri terus membiarkan perkhidmatan itu seolah-olah ‘berkubur tanpa nisan’.

 

“Saya sebagai penduduk asal Kampung Morten, saya rasa tidak seronok melihat monorel tersadai. Dulu apabila ia bergerak, kita rasa bangga pelancong mengagumi kampung saya. Tetapi sekarang ini tidak lagi.

 

“Monorel ini saya lihat perlu dinaik taraf untuk dijadikan ikon seperti beberapa produk pelancongan lain di negeri ini. Rugi kalau kerajaan negeri tidak berbuat sesuatu untuk menyelamatkan perkhidmatan ini,” katanya.

 

Sementara itu seorang kontraktor, Azlan Sibut, 48, yang tinggal di Pulau Gadong dekat sini berkata, monorel tersebut masih mempunyai tarikan jika diberi nafas baru dengan gerabak-gerabak yang lebih menarik digunakan.

 

“Lagi menyedihkan apabila pemandangan di laluan monorel itu cacat kerana beberapa bangunan kilang terbengkalai tidak dirobohkan. Ini sekali gus mencacatkan pemandangan kerana pelancong ingin melihat keindahan sungai Melaka dan Kampung Morten,” jelasnya.

 

Bagi seorang suri rumah, Azreena Nur Abdul Aziz, 40, pihak berwajib perlu memberi lebih perhatian kepada soal keselamatan memandangkan beberapa insiden sebelum ini jelas mencalarkan imej pelancongan Melaka.

 

“Dulu waktu dibuka pada 2010, anak-anak saya teruja menaikinya tetapi apabila kejadian orang terperangkap di dalam gerabak. Saya tidak lagi membenarkan mereka untuk menaikinya,” katanya

 

 

 

. – UTUSAN ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani memberitahu…
Berita Domestik
  Beliau berkata, justeru, MBMB diminta mengambil tindakan yang sewajarnya agar projek yang…