Menurut laporan daripada Autobild, menjelang tahun 2022 Mercedes-Benz bakal memperkenalkan model aras mula baharu itu dan diposisikan di bawah A-Class.
Selain daripada model biasa, Mercedes-Benz juga akan menampilkan sebuah model crossover dengan dimensi yang lebih kecil di bawah model GLA-Class.
Berita ini turut diperkuatkan dengan laporan yang hadir pada Ogos tahun lalu, di mana ketua jurutera pembangunan kenderaan kompak Mercedes Axel Heix dan ketua unit pengujian kenderaan Johen Eck memberikan bayangan sebuah model yang lebih kecil bakal hadir disebabkan senibina MFA yang fleksibel itu.
Ini bermakna, model baharu ini bakal memiliki dimensi yang lebih kecil dan menawarkan konfigurasi tiga pintu berdasarkan rujukan kepada model EQA Concept yang muncul pada tahun 2017.
Sementara model crossover yang akan diperkenalkan pada tahun 2023 pula akan dipakaikan dengan cladding plastik, akan tetapi tidak akan hadir dengan keupayaan sistem pacuan semua roda 4Matic.
Apapun, kita tunggu sahaja bagaimana perancangan Mercedes-Benz untuk menawarkan model yang lebih kecil daripada A-Class ini.
Mungkinkah ia bakal dinamakan sebagai AA-Class? AAA-Class?
Sumber: Autobild
Mercedes-Benz EQA Concept 2017