Menteri Pengangkutan - Motosikal 150cc ke atas bakal diwajibkan pasang brek ABS

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Kerajaan bakal mewajibkan pemasangan sistem brek antikunci atau ‘anti-lock braking system’ (ABS) ke atas motosikal model baharu 150cc ke atas.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, langkah penguatkuasaan mewajibkan pemasangan sistem berkenaan kepada semua syarikat pengeluar motosikal, bagaimanapun hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kajian terperinci yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

 

Beliau berkata, kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada Miros untuk menjalankan kajian berkenaan sebelum tindakan penguatkuasaan penuh dilaksanakan dalam jangka masa dua tahun selepas tempoh kajian itu selesai.

 

Ujarnya, kajian akan turut melibatkan semua pemegang taruh termasuk industri pembuat motosikal dan wakil pengguna.

Katanya, melalui kajian yang dilakukan Miros terhadap teknologi ABS setakat ini, dilihat mampu mengurangkan sekurang-kurangnya 30 peratus kemalangan dan kematian membabitkan pengguna motosikal.

 

“Ini bermaksud kita ada tempoh transisi ynag kita boleh benarkan. Mana-mana pembuat atau pengilang yang sudah bersiap siaga tidak ada masalah, boleh teruskan.

 

“Kalau mereka yang masih ada masalah, dia boleh gunakan tempoh diberikan untuk melakukan. Kita akan lihat keberkesanan apabila dipasang pada mereka penunggang motosikal lebih 150cc seterusnya kita akan melihat ke bawah, macam mana,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meraikan sambutan ulang tahun ke-19 Miros di Makmal Pelanggaran Miros PC3, di Ayer Molek, Melaka pada Selasa.

 

Mengulas lanjut ujarnya, teknologi ABS merupakan teknologi anti gelincir yang membantu menghalang motosikal daripada tergelincir, terbabas dan gagal mengelak ketika menunggang.

 

Jelasnya, secara purata kemalangan maut pada tahun 2019 lalu iaitu tempoh sebelum pandemik COVID-19 adalah sebanyak 6,000 setahun manakala bagi tahun 2020 purata kemalangan maut merekodkan sebanyak 4,658.

 

Daripada angka itu ujarnya, 64 hingga 67 peratus atau dua pertiga daripada jumlah kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal.

 

Justeru ujarnya, kerajaan tidak akan tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan sekali gus tidak akan memberi beban kepada mana-mana pihak khususnya syarikat pengeluar kenderaan berkenaan.

 

 

 

Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut laporan daripada  Bernama, presiden kesatuan tersebut Abdul Razak Md Hassan dalam kenyataan…
Informasi
  "Kami melihat tidak adil jika seminggu tidak boleh guna (LRT) tetapi tetap membayar. Tempoh sah…
Informasi
  Berita Harian melaporkan bahawa Ka Siong berkata, keputusan supaya pekerja p-hailing memiliki…