Loke - Perkhidmatan komuter laluan selatan akan diperkenalkan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan selaras kemajuan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkhidmatan komuter itu akan membabitkan laluan Gemas - Paloh - Johor Bahru.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Untuk itu kementerian menerusi Perbadanan Aset Keretapi sedang mengusahakan inisiatif perolehan set tren elektrik baharu secara pajakan untuk digunakan bagi perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan kelak," katanya menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Loke berkata, apabila perkhidmatan komuter laluan selatan itu diperkenalkan, lebih banyak hentian dan stesen akan terbabit dengan projek itu.

Katanya, stesen tambahan juga ada dicadangkan kerajaan Johor terutama antara Kempas ke Johor Bahru.

"Kita juga menggalakkan kerjasama dengan sektor swasta yang mana jika ada projek perumahan, pemaju akan membina kemudahan stesen kerana ia akan memberi nilai tambah kepada pembangunan.

"Contohnya, di stesen Segambut yang mana pemaju membina stesen yang memberikan nilai tambahan kepada projek di kawasan berkenaan," katanya

Sementara itu, menjawab soalan asal Shu Qi mengenai jangkaan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru akan disiapkan sepenuhnya, katanya projek membabitkan laluan sepanjang 192 kilometer itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 21 April 2025.

Namun, katanya bahagian infrastruktur jajaran landasan kereta api berkembar elektrik dari Gemas - Johor Bahru dijangka akan siap pada penghujung tahun ini.

"Dengan siapnya infrastruktur jajaran landasan kereta api ini, perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang kini beroperasi sehingga ke Stesen Gemas akan dilanjutkan ke Stesen Johor Bahru.

"Kerajaan juga telah membuat perolehan 10 set tren elektrik baharu, yang dijangka akan digunakan secara berperingkat mulai penghujung tahun ini untuk menyokong operasi perkhidmatan ETS di sektor selatan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khiruddin (PN-Jerantut) mengenai usaha penyelenggaraan tren sedia ada, Loke menegaskan menjadi dasar kementerian kini untuk membudaya penyelenggaraan aset yang ada bukan menumpukan kepada penambahan aset.

"Kebanyakan tren yang ada jangka hayatnya sehingga 30 tahun, namun aset yang ada kini tidak sampai 20 tahun sudah terbengkalai kerana penyelenggaraan kurang memuaskan.

"Kementerian kini mencari model yang sesuai bagaimana sistem pajakan dilaksanakan sebagaimana dipraktikkan oleh syarikat penerbangan yang mana mereka tidak lagi membeli pesawat tetapi membuat pajakan," katanya.

Menjawab soalan Khairil Nizam mengenai pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura), Loke menjelaskan laporan awal kertas cadangan pelaksanaan semula sudah dikemukakan MyHSR Corp kepada Kementerian Pengangkutan.

"Kementerian Pengangkutan akan mengemukakan laporan itu kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

"Namun, apa yang penting projek ini tidak akan membabitkan suntikan kewangan daripada kerajaan, sebaliknya dibiayai swasta, dan keputusan Kabinet akan menimbangkan implikasi kewangan kepada kerajaan," katanya.

 

Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Global
Dia berdepan dengan 27 pertuduhan, di mana 24 daripadanya melibatkan suapan sebagai penjawat awam,…
Berita Domestik
"Tahun 2023 juga merupakan tahun kemuncak pembinaan projek ini. Projek ECRL telah memasuki fasa…
Berita Domestik
  “Pemboleh ubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan dan jumlah…