Mazda3 2.5 Turbo 2021 rasmi dilancarkan - 250 hp/433 Nm, AWD dan transmisi auto sahaja

oleh Mohamad Hanif|
Setelah kita menikmati beberapa data spesifikasi yang didedahkan oleh Mazda Mexico, pihak Mazda secara rasmi melancarkan hot hatch Mazda3 dan model sedan Mazda3 dengan enjin 2.5 liter turbo Skyactiv-G untuk model tahun 2021.

Walaupun Mazda tidak mahu menghidupkan semula jenama Mazdaspeed/MPS, namun ternyata Mazda3 dengan enjin turbo ini mampu mengekstrak kuasa tambahan sehingga 250 kuasa kuda dan 433 Nm daya kilas apabila disuap dengan bahan api premium octane 93.

Ini berbeza dengan spesifikasi Mazda3 Mexico di mana ia berupaya menghasilkan 227 kuasa kuda dan 420 Nm namun dengan bahan api biasa octane 87.

Mazda turut menyatakan enjin turbo ini telah ditala khas untuk menawarkan dinamik pemanduan yang unik seperti yang diharapkan oleh kebanyakan pemandu yang berjiwa kelajuan.

 


Walaubagaimanapun, Mazda3 2.5 liter turbo ini tidak didatangkan dengan transmisi manual, sebaliknya hanya sistem transmisi automatik enam nisbah kelajuan yang memacu semua roda i-Activ.

Angka prestasi seperti pecutan 0-100 km/j tidak didedahkan oleh Mazda, namun apa yang pasti angka output itu ternyata mampu menggugat hot hatch lain yang ada di pasaran pada ketika ini.

Perbezaan antara model 2.5 turbo dengan model lain adalah tip ekzos yang lebih besar, set rim aluminium hitam bersaiz 18 inci, pelindung cermin sisi hitam berkilat, lencana Turbo, serta lampu utama automatik dengan lampu nyalaan siang LED.

Sementara model sedan pula didatangkan dengan gril hadapan berwarna hitam berkilat dan dekorasi pada bahagian bawah bumper hadapan.

 


Antara ciri standard yang didatangkan termasuklah roda stereng dengan sistem pemanas terbina, cermin pandang belakang tanpa rangka, kemasan krom pada butang pandu mula, sistem infotainmen 8.8 inci, paparan head-up dan sambungan hotspot Wifi.

Selain daripada itu, para pembeli juga akan mendapat dua slot USB, sistem kemasukan tanpa kunci, bumbung bulan berkuasa, kawalan iklim dua zon, tempat duduk hadapan dengan pemanas terbina, balutan kulit pada tombol gear dan gril pembesar suara aluminium.

Aspek keselamatan pula didatangkan dengan ciri i-Activsense yang merangkumi Mazda Radar Cruise Control, Smart Brake Support, sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar laluan, bantuan kekal laluan, amaran tumpuan pemandu, sistem lampu adaptif dan bantuan suluhan tinggi.

 


Untuk mereka yang mahukan spesifikasi tambahan boleh mendapatkan Premium Plus Package yang merangkumi spoiler belakang (sedan), spoiler bumbung (hatchback), dan lip hadapan (hatchback).

Pakej ini turut didatangkan dengan ciri keselamatan tambahan seperti Rear Smart City Brake Support, Rear Cross-Traffic Braking, sistem pemantauan 360 darjah, dan Traffic Jam Assist.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, model Mazda3 2.5 turbo 2021 ini bakal hadir menjelang hujung tahun ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam satu ujian pecutan yang dibuat oleh MazdaMovement, Mazda3 dengan enjin 2.5 liter turbo…
Berita Global
Harga jualan rasmi Mazda3 Turbo juga turut didedahkan, bermula dari $29,900 (RM125,356) di Amerika…