Limosin mewah Mercedes-Maybach S-Class 2021 dilancarkan secara rasmi

oleh Mohamad Hanif|
Jika model generasi baharu S-Class 2021 sudah pun dirasakan tersedia mewah dalam pandangan anda, usah terlupa dengan satu lagi penawaran eksklusif daripada jenama Mercedes-Benz, iaitu Maybach.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ucapkan selamat datang kepada Mercedes-Maybach S-Class 2021, limosin mewah yang menampilkan lebih banyak perincian teknologi dan kemewahan yang mampu menandingi jenama seperti Bentley Flying Spur dan Rolls-Royce Ghost.

Jika dibandingkan dengan S-Class standard, model Maybach S-Class ini menerima kemasan yang lebih spesifik seperti gril radiator, bampar hadapan baharu, lampu LED, sistem ekzos tip berkembar, serta layangan warna dua tona yang ditawarkan secara opsyen.

 


Bergantung kepada pasaran, Maybach S-Class akan ditawarkan dalam pilihan 4.0 liter V8 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 496 kuasa dibantu dengan sistem mild-hybrid 48 volt untuk varian S580 4MATIC, atau enjin V12 6.0 liter turbo berkembar (621 hp) untuk varian S650 4MATIC.

Dari segi dimensi, sedan ini memiliki jarak antara roda yang telah dipanjangkan sebanyak 180 mm di mana menurut Mercedes, ia mampu menawarkan ruang tambahan kepada penumpang belakang duduk dengan lebih selesa (almaklumlah, bos besar biasa duduk belakang).

 


Bos-bos besar tidak akan duduk di belakang stereng, oleh sebab itu di bahagian belakang terdapat dua buah skrin sentuh bersaiz 11.6 inci yang membenarkan penumpang VVIP untuk melayari internet atau menonton filem kegemaran.

Tempat duduk belakang adalah jenis boleh laras menggunakan tenaga elektrik, dibantu dengan kehadiran ciri perehat kaki dan fungsi urut.

Ruang perehat tangan pula boleh dimuatkan dengan peti sejuk mini yang mampu untuk menyejukkan 10 liter jus oren pada tetapan suhu 1 hingga 7 darjah Celsius.

 


Namun, Mercedes-Benz tidak pernah melupakan peranan pemandu, di mana ruang kokpit hadapan menampilkan skrin instrumen bersaiz 12.3 inci, serta skrin tengah 12.8 inci yang dikelilingi dengan trim yang lebih mewah.

Untuk mengurangkan beban kepada pemandu, Mercedes-Benz melengkapkan Maybach S-Class ini dengan sistem Drive Pilot - antara yang pertama di dunia yang menawarkan mod pemanduan autonomi tahap ketiga.

Menurut Mercedes lagi, selain daripada mampu mengawal sepenuhnya sistem stereng, pendikit dan brek tanpa bantuan pemandu, sistem ini juga dikatakan mampu untuk bertindak dalam keadaan seperti perubahan had laju atau kemungkinan pelanggaran.

Selain daripada itu, sistem ini juga akan memantau keadaan semasa pemandu dengan menggunakan kamera yang terpasang, di mana jika pemandu leka atau tidak menunjukkan sebarang reaksi, kereta akan berhenti dengan sendiri di bahu jalan dalam keadaan terkawal dan sistem tersebut akan menghubungi perkhidmatan kecemasan dengan sendirinya.

 


Untuk memastikan keselesaan ketika perjalanan yang penting, Maybach S-Class hadir dengan ciri pembatalan hingar aktif yang bergerak seiring dengan sistem stereo Burmester bagi menyingkir gelombang bunyi yang tidak diperlukan di dalam kabin.

Antara ciri opsyen yang canggih adalah MBUX interior assist, ciri yang mampu untuk mengesan pergerakan mata, tangan, dan bahasa badan penumpang dalam melakukan sesuatu fungsi.

Seperti contoh, sekiranya sistem kamera mengesan penumpang belakang mahu mencapai tali pinggang keledar, sistem akan secara automatik 'menghulurkan' tali pinggang keledar tersebut di dalam capaian tangan penumpang.

 


Sistem suspensi udara yang dihasilkan khusus untuk Maybach S-Class ini menampilkan mod 'Maybach' yang tersendiri, di mana ia mampu menawarkan perjalanan yang selesa, selain respon pendikit serta transmisi automatik sembilan kelajuan itu dengan lebih lancar dan tidak memenatkan penumpang di belakang.

Sistem stereng belakang aktif juga terdapat pada Maybach S-Class yang mampu membenarkan belokan tayar belakang sehingga 10 darjah yang membantu memudahkan urusan pengendalian di dalam kawasan yang sempit.

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Sudah pasti, jika Mercedes mengabungkan namanya bersama Maybach, akan terserlah ciri-ciri kemewahan…
Pelancaran
Ia hadir dengan penawaran enjin V8 yang serupa namun dengan talaan kuasa yang lebih tinggi, 557 hp…
Pelancaran
Hanya ditawarkan dalam varian tunggal S 580 4MATIC, sedan Maybach S-Class ini dikuasakan oleh enjin…