Apa yang lebih mengejutkan menerusi gambar terbaharu itu, Lexus kini menampilkan perubahan besar pada penampilan kenderaan mereka di mana logo 'L' telah digantikan dengan perkataan LEXUS (pendekatan yang sama digunakan oleh PROTON atau RANGE ROVER).
Ini kerana, sejak daripada awal kelahiran Lexus pada tahun 1989, hampir kesemua model termasuklah model kereta sports Lexus LFA menggunakan logo besar L pada bahagian belakang.
Perubahan ini dilihat satu anjakan besar buat jenama mewah yang lahir dari Toyota itu dan tidak mustahil rekaan sebegini bakal diaplikasikan pada model-model Lexus pada masa akan datang.

Sebelum ini, beberapa media automotif melaporkan terdapat imej penuh Lexus NX generasi baharu yang bocor menampilkan rupa paras sebenar crossover itu.
Apa yang pasti, berdasarkan gambar yang diperoleh sebelum ini, ruang kabin Lexus NX 2022 menampilkan rekaan berorientasikan pemandu, terdiri daripada skrin kluster instrumen digital, skrin paparan infotainmen yang besar di tengah, serta rekaan konsol tengah yang diinspirasikan daripada model Toyota Mirai.