
Satu perkara menarik tentang bidang pengendalian, Yamaha Motor Co., Ltd. adalah syarikat yang membekalkan komponen kepada pengeluar ternama.
Yamaha baru-baru ini mengumumkan Yamaha Performance Damper telah dipilih untuk digunakan pada Lexus NX baharu.
SUV NX 450h+,350h dan 350 F SPORT akan menggunakan komponen tersebut yang berfungsi sebagai redaman casis (vibration damping) pada bahagian struktur utama kenderaan.
Ini bukan kali pertama untuk Lexus, NX generasi terdahulu turut menggunakan Yamaha Performance Damper dan Lexus memang pengguna tegar.
Pada 2020, kami pernah melaporkan tentang LC500 Convertible dan Lexus LC500 menggunakan komponen tersebut.

Fungsi Yamaha Performance Damper ialah untuk mengawal dan menyerap atau meredam canggaan dan herotan (deformations) dan getaran bagi menjadikan pengendalian kereta lebih baik dan selesa.
Secara spesifik, Yamaha Performance Damper menyerap atau meredam tenaga dan menyuraikannya sebagai tenaga haba (termal).
Asasnya datang dari cangaan semasa kereta dipandu. Canggaan itu berlaku dalam bentuk kecil sahaja iaitu kurang dari 1 mm.
Casis kereta terdiri daripada banyak komponen dengan sifat hakiki mengenyal dan elastik.
Dengan segala pergerakan dan berlaku pula secara rutin komponen manakah dapat membantu dan mengawalnya?

Di sini tugas Yamaha Performance Damper iaitu meredam dan menyerap tenaga canggaan atau herotan dan menyingkirnya sebagai tenaga haba.
Penggunaan komponen dari Yamaha itu menjadikan kereta lebih sedap dan stabil untuk dipandu terutama sekali pada kelajuan tinggi di mana canggaan casis berlaku dengan lebih besar.
Yamaha sebenarnya telah lama membekalkan peredam tersebut.
Sejak April 2004 pelbagai jenis kenderaan menggunakannya dengan jumlah pengeluaran mencecah dua juta unit pada tahun 2020!
Penulis: Muhammad Md Tajudin