Lamborghini Huracan STO - jentera Super Trofeo jalanan RWD, 630 hp/535 Nm

oleh Mohamad Hanif|
Tidak pernah puas dengan apa yang ada, Lamborghini kini hadir dengan sebuah lagi model supercar jalanan yang diinspirasikan daripada jentera lumba Squadra Corse, iaitu Huracan Super Trofeo Omologata (STO).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bertindak sebagai pengganti kepada Huracan Performante, Huracan STO ini hadir secara eksklusif dalam konfigurasi pacuan roda belakang sahaja.

Untuk memastikan ia mampu menyerang mana-mana litar dan dalam masa yang sama masih boleh digunakan secara halal di atas jalan raya, beberapa penambahbaikan serta pengurangan berat badan telah dilakukan.

 


Seperti contoh, 75 peratus daripada bodywork Huracan STO ini telah digantikan dengan bahan gentian karbon, cermin windscreen 20 peratus lebih ringan dan roda magnesium bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar Bridgestone Potenza.

Oleh sebab itu, Huracan STO mempunyai berat kering sekitar 1,339 kg, atau 45 kg lebih ringan berbanding Huracan Performante yang sudah tersedia ringan itu!

Melihat kepada penampilan yang agresif itu, sudah pasti aspek aerodinamik turut menjadi tumpuan utama dalam pembangunan Huracan STO ini.

 


Bermula dari hadapan, komponen seperti hud, mudguard dan bampar telah disatukan menjadi satu elemen yang merujuk kepada model ikonik Miura dan Sesto Elemento, sementara di bahagian belakang pula menampilkan liang kemasukan udara NACA, skup udara untuk penyejukan yang lebih berkesan, sirip belakang dan spoiler boleh laras.

Semua ini menyumbang kepada peningkatan keberkesanan aerodinamik sehingga 37 peratus dan menghasilkan 53 peratus lebih daya turun berbanding Huracan Performante.

 


Resipi ringan dan lebih aerodinamik sahaja tidak cukup, oleh sebab itu Huracan STO ini menampilkan sistem brek seramik karbon Brembo CCM-R yang diperoleh daripada jentera F1 untuk memberikan lebih kuasa pemberhentian, dan menawarkan pengurusan haba yang lebih baik.

Kuasa diperoleh daripada enjin yang sama digunakan pada Huracan Evo dan Huracan Performante, iaitu nadi 5.2 liter V10 yang menghasilkan 630 kuasa kuda, namun daya kilas diturunkan kepada 565 Nm berbanding angka asal 600 Nm.

Namun, dengan diet pengurangan berat badan itu tadi, Huracan STO mampu menyelesaikan pecutan 0-100 km/j dalam tiga saat, dan 0-200 km/j dalam masa sembilan saat sahaja.

 

 


Kelajuan tertinggi 310 km/j dan kuasa pemberhentian pula adalah sejauh 30 meter dari 100-0 km/j.

Terdapat penambahan mod pemanduan iaitu mod jalanan STO, mod litar Trophy dan mod baharu Pioggia (Rain) yang mengoptimasikan kawalan cengkaman, torque vectoring dan ABS untuk kawalan yang lebih baik atas jalan basah.

 


Ruang kabin pula menampilkan penggunaan bahan gentian karbon yang cukup meluas, terutama di bahagan tempat duduk sports, diikuti dengan upholsteri Alcantara dan Carbonskin Lamborghini, alas kaki gentian karbon, panel pintu gentian karbon dan tali pinggang keledar empat poin.

Ruang barang juga disediakan di bahagian hadapan (frunk) untuk meletakkan helmet perlumbaan anda.

Harga jualan untuk seunit Lamborghini Huracan STO bermula dari $327,838 (RM1.34 juta) untuk pasaran US, jauh lebih mahal berbanding Huracan Performante yang digantikannya ($274,390) yang dilancarkan pada tahun 2017.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Setiap model ditawarkan dalam dua konfigurasi dengan warna dan grafik khusus seperti logo 60th…
Berita Global
Namun, menerusi kolaborasi bersama Lamborghini, Ducati kini memperkenalkan sebuah model…
Berita Global
  Model itu dibangunkan Lamborghini Squadra Corsa untuk siri perlumbaan Lamborghini dan ada…