Bertempat di EICMA tahun ini, Kymco turut memperlihatkan sebuah model skuter baharu yang sangat mesra lesen B2, iaitu Skytown.
Terdapat dua variasi enjin ditawarkan, iaitu 125 cc dan 150 cc, di mana kedua-dua enjin ini dikatakan mematuhi piawaian emisi Euro 5+ yang terkini.
Enjin silinder tunggal 125 cc itu mampu menghasilkan 11 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 9.8 Nm @ 6,500 rpm, sementara nadi silinder tunggal 150 cc pula mampu menjana kuasa 12 hp dan 11.3 Nm.
Skytown mempunyai berat sekitar 117.5 kg sahaja, dipadankan dengan rim bersaiz 14 inci (tayar 110/70) di hadapan dan rim 13 inci (tayar 130/70) di belakang.
Skytown 125 cc dibekalkan dengan sistem brek gandingan CBS, sementara varian 150 cc pula tampil dengan sistem ABS dan kawalan cengkaman sebagai ciri standard.
Paparan panel meter pula adalah jenis digital yang sangat ringkas dan mudah untuk dibaca.
Ciri lain termasuklah panel penghadang angin boleh laras, bar pemegang untuk penumpang belakang, serta soket pengecasan USB.