Kia Malaysia teliti isu waranti & alat ganti, jamin pelanggan Kia terdahulu tidak akan diketepikan

oleh Mohamad Hanif|
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Kia Malaysia kini diwakili oleh syarikat gabungan antara Bermaz Auto dan Kia Motors Corporation, dimana Kia Motors memegang saham majoriti di dalam syarikat tersebut.

Selain daripada memperkasakan dan menaikkan semula imej Kia yang tercalar, keutamaan akan diberikan kepada usaha untuk menangani isu-isu yang melanda para pemilik terdahulu, seperti alat ganti dan tuntutan waranti.

Ketika ditanya sama ada Kia Malaysia Sdn Bhd akan meneruskan penawaran oleh pengedar terdahulu (dalam hal ini, Kia Value 5), Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Datuk Seri Ben Yeoh menjelaskan pihak mereka kini sedang meneliti terlebih dahulu struktur jaminan yang ditawarkan oleh pengedar terdahulu.

Selain daripada itu, Kia Malaysia Sdn Bhd juga akan memperkukuhkan lagi jaringan pengedar sedia ada dalam usaha untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih baik.

Ketika ini, Kia Malaysia mempunyai kira-kira 35 buah pusat pengedar yang bertauliah di seluruh negara.

Tambah Datuk Seri Ben Yeoh lagi, Kia Malaysia pada ketika ini tidak akan memfokuskan kepada kuantiti jualan, sebaliknya menekankan kualiti penawaran produk, perkhidmatan selepas  jualan, dan yang paling penting bagi mereka adalah memenuhi ekspektasi yang diharapkan oleh para pelanggan, selain memperbaiki pengalaman pemilikan bagi para pelanggan sedia ada sebelum memperkasakan jenama itu dengan lebih meluas di kalangan rakyat Malaysia.

Melihatkan usaha Bermaz Auto memposisikan jenama Mazda di kalangan rakyat Malaysia sebelum ini, tidak mustahil jenama Kia akan kembali bangkit semula satu hari nanti.

Laporan kedua akan menyusul, di mana ia bakal menyentuh soal penawaran produk Kia pada masa akan datang.

Baca: Kia Motors Korea masuk bersama Bermaz ganti Naza Kia

Baca: Apa sudah jadi dengan Kia Malaysia?