Kerajaan batal projek pembinaan lapangan terbang baharu Pulau Tioman

oleh Penyumbang Rencana|
Mesyuarat Jemaah Menteri secara dasarnya bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut di pulau itu, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang iaitu habitat penting pelbagai spesies hidupan laut dan juga tarikan utama ke Pulau Tioman, yang diwartakan sebagai Taman Laut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, ia akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nik Nazmi berkata, NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar telah selesai melaksanakan proses pameran awal Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi ‘Cadangan Pembangunan Sebuah Lapangan Terbang Baharu di Pulau Tioman untuk Operasi Penerbangan Kod 4C Yang Berkeluasan 460.50 Ekar, Tioman, Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur.’

Katanya, laporan itu dipamerkan selama 30 hari dari 21 Jun hingga 20 Julai 2023 dan orang awam telah mengemukakan sejumlah 1,412 ulasan dari 21 Jun hingga 4 Ogos lepas.

Nik Nazmi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA pada Rabu mendapati cadangan pembinaan lapangan terbang baharu berpotensi memberi impak negatif yang amat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuk ekologi marin, jika diteruskan.

Beliau berkata, NRECC berpandangan keputusan untuk tidak meneruskan pembangunan lapangan terbang itu selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli serta alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.

"Keputusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemampanan dan menjamin kesejahteraan negara," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

MotorGP
  Perlumbaan sulung di negara berkenaan dijadualkan pada 9 Julai depan dan dijadikan sebagai…
Berita Global
  Cathay dalam satu kenyataan berkata langkah dilaksanakan apabila kerajaan Jepun mengehadkan…
Berita Global
Menurut Akio Toyota, pengerusi JAMA dan juga presiden Toyota Motor, pihak persatuan bersetuju untuk…