Kelibat Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid dikesan di Malaysia!

oleh Mohamad Hanif|
Berdasarkan laporan yang pernah kami siarkan sebelum ini, Daihatsu bakal melancarkan model Rocky baharu yang dilengkapi dengan sistem hibrid terbaharu pengeluar itu pada bulan November ini.

Model yang dinamakan sebagai Rocky e:Smart Hybrid itu kini dikesan berada di jalan raya di sekitar kawasan Bukit Bintang, dan beberapa keping gambar berjaya diperoleh daripada pengguna Facebook Alex Tung dan dikongsikan dalam laman FB Group Perodua Ativa berbahasa China.

Kelibat Rocky tersebut memakai nombor pendaftaran dagang yang dimiliki oleh Perodua, di mana ia sebelum ini dilihat pada model ujian Daihatsu Move dan juga Daihatsu Tanto.
 

smart


Antara ciri yang menguatkan model ini sebagai Rocky e:Smart Hybrid adalah lencana Daihatsu dan Rocky yang telah ditampal pita hitam, diikuti dengan rekaan jeriji yang dilihat berlainan dengan apa yang ditawarkan pada model Rocky sedia ada, malah ia menyamai teaser Rocky e:Smart Hybrid yang tidak sengaja didedahkan oleh Daihatsu bulan lalu.

Berdasarkan informasi yang tertiris, sistem hibrid e:Smart menampilkan enjin tiga silinder 1.2 liter WA-VEX yang dikhabarkan berperanan sebagai unit penambah jarak, sama seperti sistem e-Power yang dimiliki oleh Nissan.

Sebagai makluman, enjin 1.2 liter (dengan kod nama WA-VE) ini sebenarnya turut ditawarkan pada model Rocky di Jepun, di mana ia mampu menghasilkan kuasa setinggi 86 PS dan 105 Nm.
 

rocky


Daihatsu mendakwa kuasa yang dihamburkan oleh trenkuasa hibrid itu tadi dikatakan mampu menyamai kuasa SUV kelas kompak dengan sesaran enjin 1.5 liter, serta mampu menawarkan penggunaan bahan api yang jauh lebih jimat.

Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid juga bakal menampilkan sistem pemanduan pedal tunggal yang boleh diaktifkan menerusi butang S-PDL di mana ia mampu mengaktifkan sistem brek regeneratif ketika pedal pendikit diangkat.

Jadi dengan wujudnya kelibat Rocky e:Smart Hybrid menandakan bahawa Perodua juga sedang bekerja keras untuk membawakan perubahan pada model Ativa yang kini antara SUV yang terlaris di pasaran Malaysia.

Baca: Spesifikasi Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid tertiris

Sumber: Paultan