JPJ masih gagal cetak cukai jalan dan geran? Apa ceritanya? 

oleh HEZERI SAMSURI|
Baru-baru ini, ramai dari kalangan penjual kenderaan mengeluh kerana pihak JPJ di kawasan Lembah Klang dikatakan gagal untuk memberikan geran fizikal untuk kenderaan yang dijual.

Rakan dari institusi kewangan yang memberi pinjaman sewabeli juga mengaku mengalami sedikit kekusutan akibat kegagalan tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Kami faham isu lesen kenderaan dan LKM digital tetapi sampai geran kenderaan pun tak dapat dicetak, ini sudah masalah lain.

Kami terpaksa ubah sistem kami untuk sementara waktu bagi meluluskan pembayaran kepada pengedar kenderaan," keluh beliau.

Penulis sendiri mengalami masalah yang sama di mana JPJ gagal memberikan cetakan geran untuk kenderaan yang dipindah milik dan kenderaan baharu.

Penulis juga gagal untuk mendapatkan cukai jalan fizikal untuk kereta walaupun diminta.  

Namun begitu, penulis masih berjaya mendapatkan cetakan cukai jalan untuk motosikal dari sebuah cawangan JPJ di Lembah Klang.

Masalah ini turut diakui oleh "runner-runner" yang sering membantu menguruskan proses jual beli atau pemindahan hak milik kenderaan.

"Masalah ini sebenarnya sudah kami rasai sejak sebulan lalu, dan kami terpaksa meminta pertolongan rakan-rakan dari luar Lembah Klang untuk mencetak geran baharu. Ini ialah kos tambahan kepada pengguna," ujar seorang "runner" berpengalaman yang Careta temui.

Seorang pembaca yang mahu membawa kenderaan beliau masuk ke Singapura juga mengadu bahawa sistem Singapura tidak menerima imej cukai jalan yang diberikan.

Sebelum ini, ada kes di mana pihak perkuasa Thailand tidak mahu menerima versi digital cukai jalan Malaysia.

 

 

Bulan Februari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa cukai jalan atau Lesen Kenderaan Malaysia (LKM) tidak lagi perlu dipaparkan kerana kementerian beliau mahu menuju ke arah pendigitalan sepenuhnya menjelang 2025.

Pengguna Malaysia boleh memuat turun LKM dari aplikasi MyJPJ. Pegawai agensi JPJ dan pihak polis juga akan dibekalkan dengan alat pengimbas untuk membaca kod QR dari aplikasi MyJPJ untuk memastikan kesahihan dokumen digital tersebut.

Proses pendigital ini akan menjimatkan pihak kerajaan sebanyak RM96 juta setiap tahun, iaitu kos untuk mencetak LKM dan juga lesen memandu.

Anthony juga kemudian menerangkan bahawa versi digital ini akan dilakukan untuk kegunaan di dalam negara sahaja.

Namun begitu, ramai yang menyuarakan masalah untuk membawa kenderaan mereka masuk ke negara jiran Thailand dan Singapura kerana tidak mempunyai cukai jalan fizikal kerana mereka gagal mendapatkan versi fizikal dokumen tersebut.

Polis dan agensi kerajaan di negara-negara jiran pula masih tidak menerima versi digital dalam aplikasi MyJPJ.

Menurut surat pekeliling Kementerian Pengangkutan bertarikh 15 November 2023 yang dilihat oleh Careta, pihak kementerian kemudian berkata bahawa LKM masih boleh dicetak jika dipinta oleh pemilik kenderaan.

Malah kegagalan untuk mencetak LKM dan lesen memandu sewaktu tempoh interim sebelum negara ke arah pendigitalan 100 peratus adalah berlawanan dengan hasrat menteri yang membenarkan pengguna untuk memilih samada menggunakan versi digital atau fizikal.

 

 

Careta diberitahu bahawa Kementerian Pengangkutan sudah memaklumkan perancangan ini kepada negara-negara ASEAN untuk menerima lesen dan cukai jalan digital Malaysia. 

Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia dikatakan sudah menerima cadangan ini secara lisan, tetapi informasi itu masih belum disalurkan ke bahagian penguatkuasaan negara-negara tersebut.

Careta turun bertanya kepada beberapa agensi yang berkaitan dengan dokumen-dokumen digital dan semuanya memberikan pendapat yang sama - sebarang sistem dokumen pendigitalan tidak sepatutnya dilancarkan secara rasmi kepada orang awam selagi ia tidak melalui proses keselamatan menurut piawaian antarabangsa.

Menurut seorang pakar dokumen digital yang ditemu-ramah, sebarang dokumen digital rasmi dari mana-mana kerajaan perlu mempunyai tahap kawalan dan pengurusan keselamatan data digital yang terjamin, boleh dicapai dan berintegriti.

Untuk memastikan perkara ini dapat dicapai, pusat data yang menyimpan maklumat atau dokumen digital rasmi tersebut perlu mematuhi piawaian pengurusan keselamatan data, sekurang-kurangnya patuh piawaian ISO 27001 (ISMS), ISO 22301 (BCM)dan ISO 9901 (QMS).

Dokumen digital rasmi tersebut juga perlu mempunyai tahap ketulenan yang berintegriti dan tidak boleh diubah (immutable). Penggunaan sijil digital tidak hanya bergantung kepada penggunaan kaedah ‘watermark’ tetapi ditambah baik dengan menggunakan teknologi ‘blockchain’ boleh diaplikasikan untuk memastikan pengguna mengemukakan dokumen yang asli dari sumber yang diperakui sahaja. 

 

 

Beliau turut menambah bahawa proses pematuhan piawaian pengurusan data digital dan integriti dokumen digital ini juga perlu dibentangkan di platform antarabangsa untuk mendapatkan persetujuan bersama, contohnya dari negara-negara ASEAN sekurang-kurangnya - jika ia mahu diterima dan boleh diguna-pakai oleh rakyat Malaysia dan agensi-agensi kerajaan di negara-negara luar.

"Agak sukar untuk diterima oleh rakyat Malaysia, jika dokumen digital itu hanya diiktiraf oleh kerajaan tempatan sahaja tetapi ia tidak diiktiraf di luar negara. Ia akan menimbulkan kesulitan kepada pemandu Malaysia yang ingin memandu di luar negara." ujarnya lagi.

Cadangan dan usaha untuk mendigitalkan dokumen-dokumen penting ini sebenarnya adalah satu langkah positif untuk menjadikan Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang maju di Asean.

Namun begitu, negara yang maju juga sepatutnya mampu merencanakan dan melakukan perancangan yang baik tanpa menyusahkan pihak pengguna dan juga pihak berkuasa dari negara jiran.

Mungkin kita masih belum mencapai kualiti pengurusan yang lebih global? 
 

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Itu merupakan kesalahan yang dilakukan oleh penunggang motosikal berusia 25 tahun yang merempuh…
Berita Domestik
  Beliau berkata hasil kutipan terbesar JPJ setiap tahun disumbangkan oleh cukai jalan dan proses…
Berita Domestik
Bermula 10 Februari 2023, pemilik kenderaan (tertakluk kepada kenderaan persendirian sahaja buat…