Bowler Defender Challenge merupakan perlumbaan yang melibatkan 12 buah pasukan dan bakal dimulakan di North Wales.
Jentera ini akan dikendalikan oleh Mark Higgins, juara tiga kali British Rally dan pemandu aksi lasak di dalam beberapa filem Bond seperti Quantum of Solace, Skyfall, Spectre dan No Time to Die.
Dari segi luaran, ia membawakan layangan cat hitam berlogokan angka besar 60 berwarna emas, diikuti logo 007 yang merujuk kepada watak James Bond pada bahagian sisi, bumbung, bonet dan juga pintu belakang.
Jentera rali Defender 90 ini menggunakan nadi Ingenium P300 yang menghasilkan 296 kuasa kuda dan 400 Nm, serta mendapat modifikasi seperti sistem penyejukan pada enjin dan transmisi, sistem ekzos sports, pemasangan sangkar keselamatan penuh, dan spoiler bumbung.
Selain itu, sistem gantungan turut dinaiktaraf, diikuti dengan rim bersaiz 18 inci yang telah diperkukuh, dibaluti tayar all-terrain.
Bagi para peminat filem 007, kelibat Defender bukanlah satu perkara yang asing dan tahun lalu Land Rover telah melancarkan Defender V8 Bond Edition yang menampilkan badan hitam, rim bersaiz 22 inci, penampilan logo 007 dan hanya dihasilkan sebanyak 300 unit sahaja.