Isu AAM - KBS hanya rugikan rakyat

oleh HEZERI SAMSURI|
Pertelingkahan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) dengan Persatuan Otomobil Malaysia (AAM) berkaitan hak penjagaan sukan bermotor negara mula timbul sejak tahun lalu.

Desas desus kuat mengatakan Menteri Sukan dan Belia telah menghantar surat kepada FIM berkaitan pelucutan hak AAM dan meminta FIM menyerahkan kuasa kepada Motorsport Association of Malaysia (MAM) menjadi bualan hangat yang kemudiannya mati begitu sahaja.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Perbincangan antara penggiat sukan bermotor dan pihak AAM yang menhadiri forum AAM Motorsport BluePrint bulan November lalu juga tidak menampakan kesudahannya.

Namun begitu, bulan ini isu itu sampai ke kemuncaknya apabila PSM sendiri mengesahkan AAM dibatalkan status sebagai badan sukan.

 

 

Menurut laporan Harian Metro, Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman berkata AAM tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengiktiraf, menganjur atau terbabit dengan apa saja aktiviti sukan permotoran dalam mahupun di luar negara.

Alasan yang diberikan ialah AAM gagal menurut peraturan yang ditetapkan oleh pihak beliau.

Namun begitu, pengumuman pembatalan AAM tidak pula diikuti dengan pengumuman penggantinya.

Ini ialah kerana kesemua aktiviti sukan bermotor rasmi perlu mendapat kelulusan dari pihak AAM, dan jika tidak ada pengganti AAM, maka acara itu tidak boleh dilangsungkan.

Namun begitu, apa yang difahami oleh Careta ialah pihak KBS atau agensi kerajaan Malaysia tidak mempunyai hak untuk melucutkan status AAM sebagai "penjaga" sukan bermotor di dalam negara.

Status itu diberikan oleh badan-badan sukan bermotor dunia seperti FIA, FIM dan CIK. Mereka juga yang mempunyai hak untuk menarik balik status tersebut.

Setakat ini, tidak ada sebarang berita rasmi dari mana-mana badan antarabangsa itu berkaitan isu ini walaupun 

Careta bertanyakan kepada beberapa penggiat sukan bermotor negara. 

 

 

Harris Iskandar Taib (gambar di atas), penganjur sukan bermotor tempatan berpendapat pembatalan AAM itu hanya akan mendatangkan masalah dan tidak membantu sukan bermotor negara.

Menurut Harris:

  • Tanpa AAM, semua lesen perlumbaan yang dipegang oleh pelumba tempatan tidak sah, termasuk mereka yang berlumba di peringkat antarabangsa.
  • Jika lesen mereka tidak sah, bagaimana mereka hendak berlumba di acara MotoGP, Le Mans dan lain-lain sukan bertaraf antarabangsa?
  • Tanpa AAM, rakyat Malaysia perlu mengambil lesen dari badan bertauliah di Thailand atau Singapura dan menurut undang-undang negara tersebut. Sebagai negara yang mempunyai industri automotif termaju di Asean, litar antarabangsa paling berprestij di rantau ini dan bakal melihat jenama automotif nasional ketiga, adalah sedikit melucukan jika kita tidak ada badan yang mampu mengeluarkan lesen perlumbaan untuk rakyat sendiri.
  • Tanpa AAM, segala urusan insurans terbatal dan ini saekaligus membawa kepada pembatalan acara. 
  • Baik AAM ataupun KBS dan agensi lain, semua perlu bersemuka untuk kepentingan rakyat. 

 

 

Careta bertanya pula kepada Khaidi Kamaruddin (gambar di atas), juga antara penggiat sukan bermotor veteran di Malaysia.

Khaidi berkata beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak, cuma beliau terpanggil untuk tampil memberi pendapat bagi melindungi pemegang-pemegang lesen, penganjur-penganjur dan pihak lain yang bakal terkesan dari masalah ini.

Khaidi berkata usaha untuk menaikan MAM untuk menggantikan AAM bermula sejak 12 tahun yang lalu tetapi tidak berjaya. 

Ketika forum AAM Motorsport BluePrint November lalu, Khaidi mendedahkan bahawa Pengerusi AAM, Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha bersetuju untuk menyerahkan tugas mengendalikan sukan bermotor di bawah pengurusan AAM lama kepada muka-muka baharu dan seterusnya mengasingkan bahagian sukan itu dari fungsi AAM yang lain dalam tempoh enam bulan.

Ia juga bermakna tugas AAM sebagai ASN (Kelab Otomobil Kebangsaan) akan diserahkan kepada bahagian baharu tersebut tanpa sebarang masalah.

Ini adalah cara terbaik kerana pengurusan lama AAM sudah "penat" dan AAM juga sarat dengan hutang piutang mereka. Memisahkan unit sukan bermotor AAM dari fungsi AAM induk ialah cara terbaik.

Kuasa ASN pula hanya boleh diberikan oleh FIA, FIM dan CIK, melalui mesyuarat agung dan undian dari 120 negara yang menjadi ahli.

Walaupun KBS dilihat sebagai berusaha untuk meminta kesemua acara sukan bermotor diletakan di bawah MAM, namun begitu acara-acara antarabangsa seperti AARC, Superbike Championship, CubPrix dan MSF semuanya bergantung kepada AAM untuk mendapat pungutan mata di peringkat antarabangsa.

Khaidi juga berkata AAM masih mempunyai kelebihan dari segi penganjuran kerana ia mempunyai marshal-marshal dan steward-steward yang jauh lebih berpengalaman.

 

 

"MAM masih lagi mempunyai kes mahkamah berikutan kematian penonton (anak dan ayah) semasa acara perlumbaan formula kart di Kuantan dalam tahun 2016," sambung Khaidi.

"KBS diberi nasihat yang salah dah hasilnya, baik AAM mahupun PSM sendiri benar-benar faham fungsi masing-masing dan apa yang sedang berlaku," tambah Khaidi.

"Sukan berprestij seperti Formula 1 menghabiskan berbillion duit negara tetapi ia lebih menguntungkan mereka yang kaya. Pembangunan sukan bermotor di peringkat grassroot (rakyat) kurang diberi perhatian, apa lagi diberikan peruntukan," kata Khaidi.

 

 

Pendapat Khaidi disokong oleh Adian Yein Khalid (gambar di atas), satu lagi nama besar di sebalik area sukan bermotor negara dan juga antara tulang belakang utama dalam siri perlumbaan popular MSF dan Saga Cup.

"Saya tidak mahu terbabit di dalam politik tetapi saya percaya dengan demokrasi dan keadilan," ujar Adian tegas.

Adian menerangkan bahawa Majlis Sukan Bermotor Negara (NCC) ialah badan nasional yang sebenarnya menguruskan segala aspek sukan bermotor di dalam negara ini, bagi pihak AAM yang menjadi wakil kepada badan antarabangsa seperti FIM, FIA dan CIK.

"NCC sekarang ini berada di bawah AAM dan dalam mesyuarat bersama AAM ketika forum tahun lepas, ahli exco AAM bersetuju untuk menyerahkan tanggungjawab itu kepada generasi pelapis," katanya.

"Ini ialah satu kemajuan kerana akhirnya generasi Motorsport Rakyat dapat mengetuai pembangunan, pengurusan dan pembinaan sukan bermotor negara."

 

 

"Ramai orang beranggapan sukan bermotor ini hanya milik mereka yang berada. Ini tidak benar. Kita ada ratusan, atau ribuan peminat yang mahu berlumba. Dari peminat motosikal dan kereta, penunggang Cub Prix, pelumba MSF, peserta Saga Cup dan ramai lagi yang mahu berlumba di litar jika diberi peluang," Adian berkata.

"Race ialah hobi semua, bukan hanya untuk orang kaya."

"Jika KBS membatalkan AAM, adakah lesen Hafriz Syahrin itu sekarang terbatal dan beliau tidak boleh berlumba di dalam MotoGP?" soal Adian.

"Jika pihak terbabit benar-benar mahu membantu sukan bermotor ini, mereka patut duduk bersama kami yang majoriti ini dan sama-sama membantu kerana jika tidak ada AAM, segala aktiviti sukan bermotor di dalam negara akan terhenti sehingga FIA dan FIM memberikan mandar ASN baharu," kata Adian sebelum mengakhiri teks Whatsapp beliau.

 

 

Dari laman Facebook Fairuz Fauzy pula, beliau sempat menulis status yang bermaksud AAM sepatutnya diselamatkan dan diteruskan dengan pengurusan baharu. Untuk membiarkan AAM mati begitu sahaja adalah satu tindakan yang tamak.

Pendapat peribadi Hezeri Samsuri Samsuri, Pengarang Urusan Careta pula, untuk sebuah negara yang mempunyai dua syarikat kereta nasional (bakal menjadi tiga), menjadi satu-satunya negara Islam dan satu-satunya negara Asia Tenggara yang mempunyai syarikat automotifnya sendiri, negara yang mempunyai perlumbaan berprestij seperti MotoGP dan dahulu Formula 1, negara yang mempunyai syarikat petroleum yang kini menaja pasukan Formula 1 nombor satu dunia, masalah sekecil ini membuktikan pihak Kementerian Belia Dan Sukan gagal untuk turun padang dan mengkaji masalah yang wujud. 

Kepada Menteri, kami sokong bahawa permainan video game seperti PUBG tidak membunuh sesiapa tetapi sukan bermotor bakal membunuh ramai orang awam dan peserta jika tidak ada badan yang mengawasnya. 

Harapan kami agar pihak Menteri turun dan bersemuka dengan semua yang terbabit agar negara boleh maju ke hadapan dalam bidang sukan bermotor yang ternyata sudah lama mengharumkan nama negara.

Berita Berkenaan

MotorGP
  "Kelulusan diberikan kepada pelumba PETRONAS Yamaha SRT dari Malaysia dan juga pelumba negara…
Berita Domestik
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif baharu Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Md Azhan Shafriman Md Hanif…
MotorGP
Alex Rins menandatangani kontrak baharu bersama Suzuki baki membolehkan dia kekal dengan pasukan…