Itu merupakan nilai yang direkodkan oleh sebuah McLaren F1 1995 yang baharu sahaja dijual di acara Pebble Beach Auction pada minggu lalu.
Jentera yang dijual oleh Gooding & Company itu pada mulanya dianggarkan bernilai lebih daripada $15 juta (RM63.6 juta), namun harga akhir ternyata membuatkan ramai yang ternganga.
Sebagai perbandingan, kira-kira empat tahun yang lalu sebuah McLaren F1 telah dijual pada harga $15.62 juta (RM66.19 juta) sementara pada tahun 2019 sebuah F1 yang telah ditukarkan kepada spesifikasi LM mencapai nilai $19.8 juta (RM83.9 juta)!
McLaren F1 dengan casis #029 (daripada 106 unit yang dihasilkan) didatangkan dalam warna Creighton Brown, digandingkan dengan upholsteri Light Tan dan Dark Brown, dan telah pun dipandu sejauh kurang daripada 400 km (390 km lebih tepat) semenjak keluar dari kilang pada tahun 1995.
Ia sekaligus menjadikannya McLaren F1 yang paling rendah perbatuannya setakat ini, malah ia masih lagi mengekalkan tayar standard Goodyer Eagle F1 ori kilang!
Dibeli daripada pemilik asal dari Jepun, McLaren F1 ini turut datang dengan pelbagai aksesori original seperti buku servis, kotak peralatan FACOM, kit peralatan titanium, buku manual, set bagasi kustom, jam tangan TAG Heuer, serta buku khas Driving Ambition yang dibekalkan untuk setiap F1 yang keluar dari kilang.
Dari segi kuasa, McLaren F1 didatangkan dengan enjin 6.1 liter bentangan V12 aspirasi natural yang menghasilkan 618 kuasa kuda dan 650 Nm, memacu roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan.
Pecutan 0-96 km/j hanya mengambil masa sekitar 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 386.4 km/j, menjadikannya salah satu kereta aspirasi natural paling pantas di dunia sehingga kini.