Gordon Murray T.50 - pewaris McLaren F1 abad ke-21, 100 unit sahaja!

oleh Mohamad Hanif|
Bagi mereka yang arif dengan industri automotif pasti mengenali susuk tubuh yang bernama Gordon Murray - insan yang bertanggungjawab menghasilkan jentera produksi terpantas di dunia, McLaren F1.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Gordon Murray (menerusi syarikatnya Gordon Murray Automotive) kini hadir dengan sebuah lagi produk supercar yang disifatkan sebagai pewaris spiritual kepada McLaren F1, iaitu T.50.

 


Elemen daripada McLaren F1 dibawakan pada model T.50 seperti contoh bentuk lampu utama, pintu dengan bukaan dihedral dan penutup enjin yang turut dibuka dengan cara yang sama.

Struktur bukaan yang terdapat bahagian bumbung itu merupakan skup udara yang menyalurkan udara sejuk terus kepada enjin 3.9 liter bentangan V12 aspirasi natural yang mampu menghamburkan 654 kuasa kuda dan 467 Nm yang dibina oleh Cosworth.

Enjin tersebut telah direka sebagai sebuah enjin dengan kadar putaran tertinggi dan respons yang paling cepat, di mana ia mampu mencapai 12,100 rpm dan mampu mencapai garis merah dari putaran melahu dalam masa 0.3 saat!

 


Enjin pantas tersebut dipadankan dengan transmisi manual (seberat 80.5 kg) enam kelajuan dengan lima nisbah rapat dan nisbah keenam yang lebih panjang untuk pemanduan kelajuan pelayaran.

Pun begitu, Gordon Murray Automotive tidak mendedahkan angka prestasi pecutan 0-100 km/j, ini kerana menurut syarikat tersebut, mereka tidak berminat untuk 'mengejar kuasa atau angka kelajuan tertinggi'.

Dengan casis monocoque yang diperbuat daripada gentian karbon, berat jentera T.50 ini hanyalah sekitar 986 kilogram sahaja, malah lebih ringan berbanding Mazda MX-5 (1,089 kg)!

 


Aspek pengendalian pula terdiri daripada sistem suspensi jenis double wishbone, sistem stereng rak dan pinan yang menjanjikan keaslian pemanduan serta didatangkan dengan limited slip differential dan bantuan pemanduan yang boleh dinyahaktifkan.

Antara ciri yang unik terdapat pada T.50 ini adalah kehadiran kipas belakang (ada rupa Batmobile tak?), di mana menurut Gordon Murray Automotive "mampu mengurangkan kadar seretan sebanyak 12.5% selain menambah 49 kuasa kuda kepada angka output itu tadi.

Selain daripada itu, kehadiran kipas itu juga mampu mengurangkan jarak berhenti dan meningkatkan kadar daya turun sebanyak 100 peratus di dalam Braking Mode.

 


Aspek aerodinamik lain yang ada termasuklah spoiler belakang, panel bawah badan aktif, selain hadir dengan enam mod aero iaitu Auto, High Downforce, Streamline, Braking, Test dan V-Max Boost.

Mod V-Max Boost direka bagi pemanduan prestasi maksimum dengan angka output dipertingkatkan kepada 690 kuasa kuda!

 


Seperti McLaren F1, pemandu T.50 diposisikan di bahagian tengah dan 'diapit' dengan dua penumpang di bahagian belakang, serta kehadiran konsol tengah jenis terapung yang menempatkan tombol gear titanium dan kawalan terhadap sistem infotainmen.

Rekaan papan pemuka juga turut diserikan dengan kluster instrumen di bahagian tengah, menampilkan takometer yang besar diapit dengan dua paparan digital dan kehadiran tombol rotari untuk fungsi kenderaan di bahagian kiri dan kanan diperbuat daripada aluminium gred aeroangkasa.

 


Roda stereng pula adalah jenis gentian karbon dengan rekaan yang ringkas tanpa kehadiran butang fungsi yang menyemakkan dan jika anda perasan, terdapat dua skrin kecil di bahagian kiri dan kanan yang memaparkan imej cermin sisi.

Sistem infotainmen pula hadir dengan 10 unit pembesar suara dan didatangkan dengan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Gordon Murray T.50 akan dilancarkan pada Januari 2020 dengan kos sekitar £2.36 juta (RM13 juta) tidak termasuk cukai yang berkaitan.

Angka produksi pula dihadkan kepada 100 unit sahaja, dimana jaringan servis akan diwujudkan di pasaran terpilih seperti Abu Dhabi, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom, serta sokongan juruteknik yang akan diterbangkan khas untuk khidmat selepas jualan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun, sebelum supercar unik itu diedarkan kepada 100 orang pelanggan, ia mestilah diuji terlebih…
Berita Global
T.50s Niki Lauda ini hanya dihasilkan dalam 25 unit sahaja, dan ia bakal diproduksikan setelah 100…