Seperti yang disebutkan sebelum ini, Kia Carnival dibangunkan menggunakan platform generasi ketiga yang turut sama digunakan bagi model seperti Hyundai Sonata dan Kia Optima.
Dari segi luaran, ia membawakan evolusi yang tersendiri kepada aspek rekaan, di mana minivan ini ditampilkan dengan elemen yang diinspirasikan daripada SUV, sekaligus menjadikan penampilannya lebih kuat di atas jalan raya jika dibandingkan dengan pesaing terdekat.
Beberapa perubahan dibuat terhadap casis itu sendiri seperti jarak overhang hadapan yang lebih pendek, asas tiang A yang diposisikan sedikit ke belakang bagi mencipta garisan hud enjin yang lebih panjang.
Malah, jarak antara roda juga turut bertambah dan menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas, sekaligus memberikan MPV ini garisan silhouette yang lebih atletik, dan lebih dinamik.
Dari sudut pandangan sisi, para jurutera Kia berjaya mencipta ilusi rekaan bumbung terapung, terima kasih kepada struktur tiang A dan tiang B yang diwarnakan dengan warna hitam, manakala tiang C pula diberikan kemasan yang lebih unik diinspirasikan daripada Kia Sorento.
Di bahagian hadapan, rekaan muka harimau turut diberikan nafas baharu di mana gril hadapan berbentuk hidung harimau itu ternyata lebih besar dengan garisan gril yang agresif.
Rekaan lampu utama juga kini lebih tajam dan menampilkan garisan lampu nyalaan siang jenis LED yang lebih tajam dan penampilan yang agak unik untuk sebuah MPV, serta direka supaya bersambung dengan rekaan gril itu tadi.
Susunan lampu utama Kia Carnival juga agak unik, di mana kedudukan lampu suluhan tinggi diletakkan pada sudut gril hadapan, manakala lampu suluhan rendah pula diasingkan pada kedudukan paling luar komponen tersebut.
Rekaan garang hadapan Kia Carnival ini turut disumbangkan dengan penggunaan bumper yang agresif, bukaan liang udara yang rendah dipadankan dengan trim metalik, memperlihatkan penampilan minivan yang diinspirasikan daripada SUV ini.
Lampu belakang juga turut diberikan rekaan yang tersendiri, dan menyamai semangat yang ditunjukkan di bahagian hadapan Kia Carnival seperti yang diperlihatkan pada bumper belakang yang menampilkan rekaan skid plate metalik.
Kia Carnival generasi keempat dijangka akan memasuki pasaran Korea Selatan pada suku ketiga tahun ini, dan pasaran lain akan menyusul kelak.
Lebih banyak perincian akan didedahkan oleh Kia dalam masa terdekat.