Honda Vario 150 - skuter cilik jalanan yang mampu beraksi lincah

oleh Mohamad Hanif|
Terus terang kami katakan, apabila kami menyatakan Honda Vario 150 sebagai sebuah pencabar baharu di dalam segmen 150 cc, ia sebenarnya bukanlah saingan secara terus kepada beberapa buah model sedia ada dalam kelas yang serupa seperti Yamaha NVX atau Yamaha NMax.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini kerana berdasarkan saiz dimensi yang ditawarkan oleh Honda Vario 150 ini, berdasarkan sekali imbas sahaja ternyata saiz skuter ini jauh lebih kecil. 

Namun, dengan kombinasi dimensi yang kecil dan enjin 150 cc di kawasan bandar, siapa sangka skuter cilik ini sebenarnya mampu menjadi sebuah mod pengangkutan yang terbaik di dalam kelasnya. 

Careta diberikan peluang untuk menguji skuter Vario 150 ini dalam dua situasi yang sangat berbeza, satu ketika ujian kegunaan harian dan satu lagi ketika Vario ini dipaksa untuk berjalan jauh. 

Adakah Vario ini mampu untuk menjadi skuter serba boleh? Teruskan pembacaan anda.
 


Kita mulakan dengan bentuk rupa luaran dahulu.

Seiring dengan peredaran arus zaman, skuter Vario ini turut dilengkapi dengan pelbagai ciri moden seperti penggunaan lampu utama jenis LED, lampu nyalaan siang, lampu membelok jenis LED dan diakhiri dengan gugusan lampu belakang yang turut menggunakan LED. 

Unit lampu utama LED di bahagian hadapan memberikan corak pencahayaan yang sekata terutama pada waktu malam, ditambah lagi dengan lampu nyalaan siang DRL daripada LED memberikan anda kehadiran yang lebih mudah untuk dikesan oleh pengguna jalan raya yang lain. 
 


Manakala panel meter pula adalah daripada jenis digital yang memaparkan bacaan kelajuan, masa, kedudukan tolok bahan api serta kadar penggunaan bahan api semasa. 

Meter digital ini tidak memberikan sebarang masalah ketika tunggangan dalam cuaca redup, namun sukar untuk dibaca apabila sang mentari menunjukkan kuasa pancarannya yang serba terik. 
 


Sistem kemasukan tanpa kunci yang pintar pula memberikan tahap keselamatan yang lebih kepada skuter anda, di mana sistem ini menggunakan dua cara berperingkat untuk menyahkunci Vario 150 ini sebelum anda dibenarkan memulakan tunggangan. 

Silap langkah, anda terpaksa ulang daripada mula. 

Kedengaran rumit? Tidak sebenarnya sekiranya anda sudah mahir, ini kerana sistem ini sebenarnya lebih memudahkan tanpa perlu anda memasukkan dan memulas kunci di bahagian leher skuter ini.

Malah, selepas selesai melakukan tunggangan, sistem kunci keselamatan skuter ini akan diaktifkan secara automatik selepas beberapa saat dan langkah anda meninggalkan skuter ini dengan bergaya.  
 


Dari segi rupa secara keseluruhannya, Honda Vario 150 ini mungkin dilihat sedikit tidak seimbang, memandangkan dimensi rodanya yang begitu kecil, 90/80 di hadapan dan 100/80 di bahagian belakang dengan rim bersaiz 14 inci. 

Namun, hal ini dilihat agak subjektif dan penulis sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah oleh kerana penulis lebih menumpukan kepada prestasi yang ditawarkan oleh skuter ini.

Honda Vario 150 ini hadir dengan enjin empat lejang silinder tunggal bersesaran 149.3 cc yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 13.1 PS dan 13.4 Nm daya kilas pada putaran enjin 5,000 rpm. 
 


Kuasa daripada enjin sejukan cecair ini kemudian dipadankan dengan badan skuter yang kecil dan ringan itu berupaya untuk memberikan pecutan yang lebih pantas, dan hal ini dibuktikan ketika penggunaan di dalam bandar di mana skuter Vario ini mampu pergi dengan lebih pantas berbanding motosikal yang sama sesaran.

Namun, bagi mereka yang mensasarkan top speed yang cemerlang tidak digalakkan untuk mengambil skuter ini memandangkan tahap kestabilan dan gegaran yang tidak begitu memuaskan apabila meter kelajuan mula memasuki angka 110 km/j. 

Dari segi keselesaan pula, ia mungkin subjektif bagi sesetengah pengguna oleh kerana untuk penulis yang berbadan kecil ini, mengendalikan skuter sekecil Vario di dalam kesesakan lalu lintas tidak menjadi sebarang masalah. 

Cuma, ketika tunggangan di lebuhraya, anda mungkin terpaksa mengubah kedudukan kaki secara kerap oleh kerana ruang kaki yang diberikan hanyalah cukup-cukup makan sahaja, berpadanan dengan saiz dimensi asal skuter ini. 
 


Ruang penyimpanan barang di bahagian tempat duduk pula diberikan kapasiti sebesar 18 liter yang mampu memuatkan sebuah helmet bersaiz penuh manakala di bahagian hadapan pula disertakan dua buah poket penyimpanan barang yang kecil. 

Menyebut perihal penggunaan bahan api pula, Honda telah melengkapkan ciri suntikan bahan api dan Enhanced Smart Power (eSP) yang mampu membantu ketika fasa pecutan dan ciri dan sistem berhenti melahu (Idling Stop System, ISS) yang mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api yang lebih baik. 

Mengikut gaya tunggangan penulis yang bercampur-campur antara sopan dan kurang sopan itu, setangki penuh mampu memberikan bacaan jarak sejauh hampir 200 km sebelum penulis menghala ke stesen minyak untuk mengisi semula tangki sebesar 5.5 liter itu.
 


Seperti yang kami pernah siarkan sebelum ini, Careta diberikan peluang untuk menyertai sesi tunggangan konvoi Jelajah Vario Sayangi Malaysiaku sejauh 359 km daripada Batu Kawan menuju ke Kota Bharu, Kelantan.

Berdasarkan tunggangan kali pertama merentasi laluan Lebuhraya Timur Barat itu, penulis sebenarnya amat kagum dengan ketahanan dan kemampuan yang diberikan oleh skuter ini.

Sistem suspensi teleskopik di hadapan dan lengan ayun suspensi tunggal itu memberikan keupayaan menyerap hentakan serta tunggangan yang stabil dan selesa di selekoh (tanpa melebihi had keupayaan sebuah skuter) walaupun pada asalnya ia bukanlah direka untuk tujuan berkelana jarak jauh. 
 


Untuk memberhentikan skuter ini ketika kecemasan, Honda Vario tidak dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS), akan tetapi ia dikenali dengan nama Combined Brake System (CBS) yang boleh diakses pada bahagian lever brek kiri. 

Fungsi ini bukanlah menggantikan sistem ABS, namun ia bertujuan untuk mengimbangi kembali kuasa cengkaman brek untuk kedua-dua brek depan dan belakang.

Ciri CBS ini amat berguna terutama bagi para penunggang yang kurang mahir, dan berdasarkan tunggangan uji yang kami jalankan, ternyata ia sebenarnya lebih berkesan dalam memberhentikan skuter ini tanpa memberikan sebarang aksi geseran tayar yang sangat ketara.  
 


Setelah beberapa hari menggunakan skuter Honda Vario 150 ini, kami berpendapat ia sebenarnya lebih sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan seharian ke tempat kerja dalam keadaan santai.

Ditambah dengan senarai pakej moden yang ditawarkan oleh Boon Siew Honda, tidak syak lagi Honda Vario 150 ini merupakan sebuah skuter yang sangat berbaloi untuk dimiliki, dan bernilai dengan setiap duit yang dilaburkan.

Boon Siew Honda meletakkan harga jualan Honda Vario 150 versi standard ini bermula dari RM7,199 dengan tiga pilihan warna iaitu Pearl Magellanic Black, Force Silver Metallic dan Pearl Nightfall Blue, manakala versi Repsol pula lebih mahal RM200 daripada harga standard.

 

Spesifikasi ringkas Honda Vario 150
 


Enjin: Silinder tunggal sejukan cecair 
Sesaran: 149.3 cc
Kuasa: 13.1 PS/13.4 Nm @ 5,000 rpm
Transmisi: Auto V-Matic
Kapasiti tangki: 5.5 liter
Sistem bahan api: Suntukan PGM-FI
Dimensi (mm): 1,919 x 679 x 1,062
Jarak roda (mm): 1,280
Tinggi tempat duduk (mm): 769 
Suspensi depan/belakang: Teleskopik/Lengan ayun suspensi tunggal
Saiz Tayar/Rim: 90/80 (depan), 100/80 (belakang), rim 14 inci
Sistem brek: Combined Brake System (CBS) cakera hidraulik (depan) dan dram mekanikal (belakang)
Warna: Pearl Magellanic Black, Force Silver Metallic, Pearl Nightfall Blue dan Repsol Edition
Harga: RM7,199 untuk versi standard, RM7,399 untuk versi Repsol
Jaminan: dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana terdahulu)


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Seperti yang anda lihat, penampilan Vario kini jauh lebih agresif dengan meminjam sebahagian…