Namun, bagi mereka yang mahukan sebuah Civic yang masih lagi praktikal namun dengan penawaran yang lebih sporti, Honda ada menawarkan varian Civic Si untuk sesetengah pasaran.

Generasi ke-11 Honda Civic telah pun beberapa bulan dilancarkan, dan kini terdapat kelibat Civic Si muncul membawakan indikasi penawaran sedan Civic yang lebih sporti.
Menurut laporan, Honda sedang mempersiapkan Civic Si bagi menyertai acara 25 Hours of Thunderhill, di mana Civic Si yang sarat dengan pelekat samaran ini menampilkan sayap belakang yang agak besar.

Ada beberapa perbezaan ketara yang boleh dilihat, seperti contoh spoiler pada bampar hadapan, diikuti dengan tip ekzos pada kiri dan kanan bampar belakang.
Berdasarkan penawaran terdahulu (generasi ke-10), Honda Civic Si didatangkan dengan enjin 1.5 liter turbo (205 hp/260 Nm), namun hanya ditawarkan dengan transmisi manual enam kelajuan sahaja dibantu dengan unit LSD Helical.

Beberapa aspek pengendalian telah ditala semula, seperti contoh sistem suspensi yang lebih keras, casis, sistem stereng berkuasa elektrik adaptif pinan berkembar, rotor brek yang lebih besar serta peredam adaptif.
Honda Civic Si 2022 dijangka akan dilancarkan menjelang acara perlumbaan Thunderhill pada 3 Disember ini, sementara Honda Civic Type R 2023 yang lebih hardcore itu dilaporkan akan muncul pada tahun hadapan.