Harga kenderaan dijangka meningkat disebabkan kenaikan harga bahan mentah

oleh Mohamad Hanif|
Kenaikan harga bahan mentah di pasaran dan penurunan nilai ringgit dijangka akan menyebabkan harga kenderaan di Malaysia meningkat.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, masalah kekurangan bekalan cip komputer yang dihadapi oleh pengimport negara luar turut memberi kesan kepada harga kenderaan di negara ini.

“Harga-harga logistik semua naik manakala harga wang kita pun menurun berbanding nilai matawang negara luar. Itu yang meningkatkan harga pembelian bahan-bahan mentah, cukai jualan dan alat ganti kenderaan.

“Bekalan cip komputer daripada luar negara pun tersangkut, sekarang ini pun susah nak dapat.

“Stok (bekalan cip) tidak mencukupi, jadi itu yang akan menyebabkan pengeluaran kereta terganggu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bagaimanapun, Aishah berkata, keputusan itu bergantung kepada pengeluar-pengeluar kenderaan tempatan sama ada menaikkan harga kenderaan atau menyerap semua kos yang ditanggung.

Selain itu, beliau berkata, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan tamat pada akhir Jun ini juga akan memburukkan lagi keadaan kepada pembeli.

“Cukai jualan sekarang ini ada pengecualian 100 peratus untuk kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan kenderaan penumpang pemasangan luar negara (CBU) sebanyak 50 peratus. Itu akan berakhir pada 30 Jun pada tahun ini.

“Kalau pengecualian cukai jualan itu tidak dilanjutkan, maka harga tersebut pembeli kena bayar,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata industri automotif ketika ini…
Berita Domestik
Menurut Datuk Aishah Ahmad, presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), cadangan kerajaan itu akan…