Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari Benedetto Vigna yakin bahawa Ferrari boleh terus menjual kereta dengan enjin pembakaran dalaman selepas 2035, selaras dengan rancangan EU untuk membenarkan kereta berkuasa e-fuel terus dijual.
Bercakap di Financial Times Future of the Car Conference di London, Vigna berkata jenama itu kekal di landasan yang betul untuk mencapai matlamat neutraliti karbon menjelang 2030, dimana Ferrari akan melancarkan EV pertamanya pada 2025.
Beliau menjelaskan bahawa naratif e-fuel bermain pada kelajuan lebih pantas daripada yang dijangkakan sebelum ini, dimana ia membuka kemungkinan baharu untuk Ferrari dari segi produk dan pelan hala tuju teknologi masa depannya.
Vigna berkata, "Perbincangan yang berlaku beberapa minggu lalu mengenai penggunaan e-fuel - saya fikir ia akan berlaku pada 2025 atau 2026. Sekarang ia telah berlaku dua tahun lebih awal."
"Ini sangat bagus untuk kami kerana anda boleh menjalankan kereta ICE dengan bahan api yang neutral, dimana anda mengambil CO2 dari atmosfera dan menggabungkannya dengan perkara lain. Jadi saya fikir kedua-duanya sangat serasi, dan ini adalah pengukuhan strategi kami."
"Kelulusan EU sangat baik untuk kami, kerana ia memberi kehidupan kepada teknologi yang masih jauh untuk diteroka. Terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan dari segi kecekapan, dari segi pelepasan."
Buat masa ini, Ferrari juga tidak mendedahkan tentang apa-apa mengenai pembangunan enjin baharu yang bakal digunakan untuk menepati piawaian penggunaan e-fuel.
Portfolio terkini enjinnya dibarisi oleh enjin V6 3.0 liter, V8 3.9 liter dan V12 6.5 liter, yang boleh dilihat dalam model 296 GTB dan SF90 Stradale hibrid.
Sumber: Autocar