Empat feri baharu bakal beroperasi untuk bantu atasi kesesakan di jambatan Pulau Pinang

oleh Penyumbang Rencana|
Empat feri baharu Pulau Pinang yang dijangka memulakan operasi pada 7 Ogos ini telah membangkitkan keterujaan penduduk di negeri ini.

Bagi penunggang motosikal, Mohd Khairolhaswadi Hasbullah, 36, yang bertugas sebagai perunding kewangan di Butterworth berkata operasi feri baharu itu akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di jambatan Pulau Pinang.

"Feri Pulau Pinang adalah sesuatu yang nostalgia. Jadi rakyat Pulau Pinang cukup bertuah disediakan dengan feri baharu.

"Inisiatif kerajaan menyediakan feri ini amat membantu rakyat Pulau Pinang terutama bagi penunggang motosikal, penunggang basikal dan pejalan kaki yang berulang alik setiap hari," katanya kepada Bernama.

Justeru beliau berkata rakyat Pulau Pinang harus mengambil peluang itu untuk menggunakan perkhidmatan feri secara optimum yang akan ditawarkan secara percuma selama sebulan.

Sementara itu, bagi pejalan kaki, Farida Mat Zain, 58, penjual makanan dalam talian, menjangkakan feri baharu itu jauh lebih selamat daripada feri yang telah berusia sebelum ini.

"Feri lama sentiasa sesak dengan motosikal dan kereta. Ia tidak berapa selamat untuk pejalan kaki. Menjelang 7 Ogos, satu daripada feri itu akan dikhususkan hanya untuk pejalan kaki, sekali gus lebih selamat bagi kami.

"Ia benar-benar membantu dan memberi manfaat kepada penduduk Pulau Pinang. Saya harap semua rakyat Pulau Pinang akan menggunakannya," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata empat feri baharu itu telah tiba di Pulau Pinang dan akan memulakan operasi bermula 7 Ogos dengan empat minggu pertama sebagai tempoh percubaan untuk menjalankan pelbagai eksesais.

Perkhidmatan feri baharu itu akan bermula dari 6 pagi hingga 8.30 malam, dengan kekerapan setiap 30 minit dan perjalanan sehala bakal mengambil masa kira-kira 10 minit (feri lama, 20 minit).

Dalam tempoh percubaan selama empat minggu itu, penduduk Pulau Pinang dan pelancong juga berpeluang menikmati perjalanan feri percuma dan perkhidmatan ulang alik percuma antara Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU-terminal pelayaran Jeti Swettenham) dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Tambah beliau, isu tersebut sememangnya dalam perhatian kerajaan malah Jawatankuasa Khas Kabinet…
Informasi
  'MERBAU ERA' kemudiannya menuju ke Batam dan selamat tiba bersama 62 penumpang terbabit,menurut…
Informasi
  Dua pengusaha feri - Labuan Mainland Link Sdn Bhd (LML) dan Juta Bonus Sdn Bhd- telah menjual…