Selepas kira-kira 39 tahun rancangan tersebut ke udara, David Hasselhoff membuat kemunculan semula bersama-sama kereta replika KITT itu di dalam acara Kelly Clarkson Show.
Bercakap berkenaan tahap kesesuaian Knight Rider, menurut Hasselhoff sesetengah daripada teknologi moden yang ada pada ketika ini adalah hampir sama dengan apa yang cuba mereka ketengahkan di dalam siri Knight Rider itu.
"Kereta boleh bercakap, kereta mampu pandu sendiri, kereta boleh parkir sendiri," ujar Hasselhoff.
Malah, ketika zaman ketiadaan teknologi grafik komputer (CGI), mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada penggunaan aksi stunt dan juga kesan praktikal pada cerita fiksyen tersebut.
Apa yang mengejutkan adalah David Hasselhoff turut mengesahkan filem reboot Knight Rider sedang dalam pembikinan walaupun kami yakin ini bukanlah kali pertama berita ini didengari.
Terdahulu pada tahun 2014, terdapat khabar angin yang mengatakan filem reboot Knight Rider sedang dirancang dan menggandingkan pelakon seperti John Cena dan Kevin Hart.
Namun beberapa laporan terkini mencadangkan projek itu kembali berjalan dan bakal diarahkan oleh James Wan yang pernah mengarahkan filem Furious 7.
David Hasselhoff mengesahkan berita itu Januari lalu, namun beliau masih belum mengetahui sama ada bakal beliau menggalas kembali watak sebagai Michael Knight ataupun tidak.