COVID-19: Hadir pengebumian beramai-ramai, 18 lelaki di penjara enam hari dan denda

oleh SALINA JALIL|
Gara-gara mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hadir beramai-ramai upacara pengebumian seorang rakan yang meninggal dunia Khamis lalu akibat kemalangan jalan raya, 18 lelaki dihukum penjara enam hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.


Hakim Tasnim Abu Bakar turut memerintahkan kesemua mereka yang berumur antara 19 hingga 53 tahun dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Dua remaja lelaki berumur 15 dan 17 tahun juga mengaku bersalah atas kesalahan sama dan mahkamah menetapkan 18 Jun untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afiq Zuber memohon mahkamah mengambil kira bahawa kes itu tular di media sosial dan menjadi perhatian umum.

 

“Hukuman setimpal perlu dijatuhkan oleh mahkamah bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada masyarakat bahawa perbuatan melanggar PKP tidak boleh dibuat main-main,” katanya.

 

Kesemua mereka didakwa bersama-sama berhimpun tanpa sebarang alasan munasabah atau dengan kebenaran pegawai polis dari Balai Daerah Klang, di sebuah tapak perkuburan di Jalan Keretapi Lama di sini, pada 2 petang 16 April lalu.

 

Mereka didakwa di bawah Peraturan 6(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan jangkitan) 2020 dan dihukum di bawah Peraturan 11 (1) Perintah sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

 

Di mahkamah sama, empat lelaki termasuk dua remaja berumur 17 turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama-sama bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan yang sah, di hadapan sebuah rumah di Taman Ku, Kapar di sini, pada 1.20 tengah hari, hari yang sama (16 April).

 

Tasnim mengenakan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan ke atas mereka dan menetapkan 18 Jun untuk menjatuhkan hukuman ke atas dua remaja lelaki itu sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 

 

 

sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam,…
Berita Global
Peraturan baharu itu akan berkuatkuasa bermula hari ini (Ahad) seperti yang dimaklumkan oleh Pihak…
Berita Domestik
Menurut presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo berkata, keadaan itu…