Perlumbaan di Qatar yang dijadualkan pada 8 Mac lalu terpaksa dibatalkan dan semua perlumbaan sehingga 17 Mei terpaksa ditangguhkan.
Perlumbaan atas talian, dengan semua pelumba hanya memegang ‘joystick’, dianjurkan penganjur MotoGP bagi membolehkan peminat boleh melepaskan kerinduan tatkala menerapkan kempen berkurung di rumah.
“Saya sangat gembira kerana dapat merangkul kejuaraan sulung,” jelas Alex berseloroh. Pelumba kelahiran Sepanyol itu berkata, atlet esukan Indonesia, Putut Maulana memberikannya beberapa tips berguna, sekali gus membolehkannya berjaya mengetepikan pelumba lain.
Francesco Bagnaia dari pasukan Pramac Ducati menduduki tempat kedua, manakala pelumba Yamaha kelahiran Sepanyol, Maverick Vinales di tempat ketiga. Perlumbaan enam pusingan di Litar Mugello itu menyaksikan Marc Marquez menduduki tempat kelima.
“Saya sangat seronok dan berharap semua yang menonton juga terhibur. Mari kita berharap semua orang mengikut segala nasihat doktor dan pakar sains, jadi kita boleh kembali meneruskan kehidupan normal serta berjumpa semula dengan rakan dan keluarga di luar serta meneruskan perlumbaan,” kata Alex.
Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo menduduki tempat keempat dan berjaya mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan. Bagaimanapun, dia yang bermula dari petak utama dipintas Vinales di selekoh pertama pusingan pembukaan.
“Anda harus mempunyai gaya tunggangan berbeza dalam perlumbaan seperti ini, jadi saya perlu menyesuaikan diri dengan strategi saya,” kata Marquez.
Sumber: redbulldotcom