BMW 2 Series 2022 dilancarkan - maaf, transmisi manual tidak lagi ditawarkan

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa gambar terbocor di Internet sebelum tiba masanya, generasi kedua BMW 2 Series akhirnya secara rasmi dilancarkan dengan membawakan rekaan yang lebih konservatif tanpa gril buah pinggang yang kontroversi itu.

Sayang sekali, untuk generasi baharu ini BMW 2 Series tidak lagi ditawarkan dalam varian transmisi manual, sebaliknya menerima transmisi automatik lapan nisbah kelajuan secara standard untuk model pacuan roda belakang dan pacuan semua roda.

Seperti yang disebutkan tadi, BMW 2 Series tidak menampilkan rekaan gril buah pinggang sebesar meja BBQ, sebaliknya ia direka supaya seimbang dengan rekaan lampu utama serba baharu dengan elemen pencahayaan LED tunggal.

 


Terdapat perbezaan yang ketara pada rekaan bampar kedua-dua model yang disebutkan itu, di mana versi asas nampak lebih sopan, manakala versi pacuan semua roda pula tampil agresif dengan liang kemasukan udara berbentuk segi tiga.

Rekaan arca roda yang berisi itu mengingatkan kita kepada model 1 Series M, sementara perkadaran rekaan bahagian sisi pula sememangnya rekaan tradisional sebuah coupe dua pintu.

 


Unit lampu belakang pula mendapat rekaan serba baharu dengan grafik yang lebih agresif, cuma bahagian tersebut mengingatkan penulis kepada rekaan sebuah sedan tempatan....

Dari segi penawaran, BMW 230i didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo menghasilkan 255 kuasa kuda dan 400 Nm yang memacu roda belakang sahaja, sementara BMW M240i pula mendapat enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang menghasilan 382 hp dan 500 Nm, serta sistem pacuan semua roda xDrive.

Menurut BMW, 230i mampu memecut sepantas 5.5 saat dari 0-96 km/j, sementara M240i pula jauh lebih pantas, sekitar 4.1 saat sahaja, namun kedua-dua mampu mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.

 


Dari segi dimensi, BMW 2 Series 2022 membawakan ukuran yang lebih besar berbanding generasi terdahulu, di mana ia lebih panjang 109.22 mm, lebih lebar 66 mm, dan lebih rendah 25.4 mm dengan jarak antara roda yang lebih panjang, 2,741 mm.

Namun dengan pertambahan dimensi tersebut ia tidak membawa makna ruang yang lebih besar, sebaliknya BMW 2 Series menawarkan kurang ruang kepala, ruang bahu dan ruang kaki berbanding generasi terdahulu.

Ruang kargo juga turut mengecil kepada 283 liter berbanding 371 liter pada model terdahulu. Sayang sekali.

 


Namun, pertambahan dimensi tersebut sebenarnya banyak disumbangkan oleh perubahan terhadap aspek pengendalian, di mana casis 12 peratus lebih tegar, jarak trek depan dan belakang bertambah, serta sudut camber telah diperbaiki bagi menjadikan pemanduan 2 Series yang lebih sporti.

Sistem suspensi turut ditambah baik dengan menampilkan beberapa komponen aluminium bertujuan untuk mengurangkan berat pra bebanan (unsprung weight), namun para pembeli 230i boleh mendapatkan opsyen suspensi M Sport sementara pembeli M240i pula boleh memilih Adaptive M Suspension.

Penawaran rim pula adalah bersaiz 18 inci untuk versi asas, sementara model M240i pula didatangkan dengan rim bersaiz 19 inci.

 


BMW 2 Series 2022 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan aktif serta bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, sistem pemantauan dan halangan keluar laluan, amaran lintasan trafik belakang, serta sistem pemantauan titik buta manakala kawalan jelajah adaptif pula ditawarkan sebagai opsyen.

Ruang kabin pula tidak jauh beza berbanding penawaran BMW pada model-model sedan yang lain, di mana 2 Series turut mendapat sistem infotainmen iDrive 7 yang menyokong sambungan nirwayar kepada Apple CarPlay dan Android Auto, integrasi Amazon Alexa, sistem navigasi berasaskan awan dan fungsi kunci digital.

Tiada sebarang harga jualan didedahkan buat masa ini, namun BMW 2 Series dijangka mendarat di pusat pameran menjelang November ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Hanya 50 unit sahaja ditawarkan untuk pasaran Malaysia, BMW 2 Series Limited Edition ini…
Berita Global
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada gambar yang diperoleh daripada Instagram @wilcoblok…
Berita Global
Dibangunkan atas pelantar pacuan roda hadapan 1 Series, 2 Series Gran Coupe mempunyai proporsi…