Gambaran artis untuk BMW 2 Series Coupe berdasarkan gambar spyshot

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa hari yang lalu, kita dikejutkan dengan kehadiran dua keping gambar spyshot yang menampakkan model baharu BMW, dipercayai BMW 2 Series Coupe generasi baharu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada gambar yang diperoleh daripada Instagram @wilcoblok benar-benar model rasmi 2 Series Coupe.

Namun, ia tidak menghalang daripada pakar manipulasi imej di Kolesa.ru memberikan gambaran 2 Series Coupe berdasarkan dua keping gambar spyshot yang diperoleh hujung minggu lalu.

 


Imej rendering tersebut sebenarnya banyak mengambil inspirasi daripada model BMW M2 CS namun dengan sedikit penyesuaian bagi menyamai rekaan yang terdapat pada model prototaip ini.

Jika dilihat berdasarkan gambar spyshot tersebut, kereta ini menampilkan rekaan gril buah pinggang yang tidak terlalu besar, selain rekaan lampu yang lebih tirus dan rekaan bumper hadapan yang lebih agresif.

 

 

Ruang belakang pula dihiasi dengan rekaan lampu LED berbentuk L yang menjadi kelaziman model BMW masa kini dengan rekaan seakan-akan bentuk belakang sebuah sedan segmen B buatan tempatan.

Tidak seperti model 2 Series Gran Coupe yang menggunakan platform pacuan roda hadapan, difahamkan model 2 Series Coupe ini akan mengekalkan platform pacuan roda belakang seperti yang digunakan pada generasi terdahulu, dan bakal membuat kemunculan pada tahun 2021.

 


Memandangkan profil sisi kereta ini tidak didedahkan,  mungkin juga ini sebenarnya adalah model sedan 1 Series yang direka khusus untuk pasaran China dan Mexico.

Perinciannya mungkin akan dapat diketahui dalam masa terdekat.


Sumber: Motor1