Informasi berkenaan BAIC Jishi 01 dikatakan muncul di laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi China Jun yang lepas, dan kini foto-foto rasmi model tersebut telah disiarkan sendiri oleh BAIC.
Sekali imbas, memang sukar untuk kita menafikan pengaruh rekaan Land Rover Defender pada model ini, terutama pada rekaan arka roda, profil sisi, pemegang pintu, serta rekaan tiang berwarna hitam.

Namun ia boleh dibezakan dengan rekaan lampu berbentuk Y pada depan dan belakang.
Kehadiran perumah penderia LIDAR pada SUV ini memberikan petanda wujudnya pelbagai jenis fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Dari segi dimensi, Jishi 01 membawakan ukuran sepanjang 5,050 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,869 mm dengan jarak antarar roda sepanjang 3,010 mm.
Terdapat juga varian jarak roda yang lebih panjang, dengan ukuran dimensi panjang keseluruhan mampu mencecah 5,295 mm.

Pengaruh rekaan Land Rover juga boleh dilihat pada ruang kabin, di mana ia menampilkan susun atur yang hampir sama.
Terdapat skrin kluster digital di hadapan pemandu, diikuti dengan skrin infohibur tengah ala tablet dan skrin tambahan pada bumbung untuk penumpang belakang.
Jishi 01 membawakan konfigurasi tempat duduk yang boleh memuatkan enam orang penumpang (2+2+2) dengan kehadiran kerusi kapten di tengah atau sehingga tujuh orang pada satu-satu masa (2+2+3).

Dari segi kuasa, Jishi 01 dibekalkan dengan trenkuasa plug-in hybrid, terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo, dua motor elektrik dan pek bateri 56 kWh.
Enjin petrol berkuasa 150 hp itu hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk motor elektrik masing-masing berkuasa 201 hp pada gandar depan dan 268 hp di belakang.
Secara keseluruhan, Jishi 01 boleh bergerak sejauh 1,115 km dengan jarak gerak sifar emisi sejauh 235 km.

Menurut laporan Car News China, Jishi 01 ini pada asalnya direka oleh Rox Motor (satu lagi jenama yang kami pertama kali dengar), namun masalah kewangan menyebabkan mereka bekerjasama dengan BAIC untuk meneruskan penawaran model SUV ala Land Rover Defender ini.
Sumber: Car News China