Bagaimana syarikat automotif cari makan dengan EV?

oleh HEZERI SAMSURI|
Suka atau tidak, Kenderaan Elektrik atau EV terus akan menjadi jenis kenderaan untuk masa hadapan.

Syarikat kenderaan semakin rancak menghasilkan EV dan harga jualan pula dilihat semakin menurun.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Untuk jenama-jenama automotif premium, EV terus menerus menjadi pilihan. Model-model khusus yang hanya hadir dalam bentuk EV sahaja semakin banyak ditawarkan kepada pasaran.

Careta menghabiskan sejam bersama Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia (VCM) untuk mendengar pendapat beliau berkaitan pasaran EV.

Frump, seorang pengembara berpengalaman di samping masih aktif bermain sukan hoki ais sebelum ini pernah bertugas untuk pihak Volvo di China, Jepun dan India.

Rakyat Amerika Syarikat itu juga mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang automotif.

 

Careta:
Adakah rakyat Malaysia boleh bertukar ke arah EV?

Frump:
Ya, pasaran Malaysia memang menghala ke arah tersebut dan kami amat yakin. Ini berdasarkan kepada permintaan dari pembeli yang lebih muda yang mahu EV bukan kerana menjimatkan perbelanjaan bahanapi, tetapi kerana mereka mahu alam sekitar yang lebih bersih.

Careta:
Bagaimana jualan EV untuk Volvo di Malaysia? 

Frump:
Jualan Volvo di Malaysia sendiri menunjukan bahawa EV semakin popular di mana 72 peratus jualan tahun 2022 adalah dari model-model elektrifikasi (EV dan PHEV).
Malah Malaysia ialah antara negara yang mempunyai peratusan jualan PHEV tertinggi di dunia kerana insentif cukai yang lebih mesra kepada kenderaan genre tersebut.

 

 

Careta:
Adakah ini bermakna Malaysia akan segera bertukar kepada EV?

Frump:
Ya tetapi ia akan mengambil masa kerana prasarana perlu lengkap untuk EV menggantikan sepenuhnya kenderaan bahanapi petrol atau disel.

Untuk membantu pengguna membiasakan diri dengan EV, Volvo Malaysia menawarkan kesemua model-model dengan varian PHEV, di mana ia mampu bergerak dengan kuasa elektrik sahaja sehingga lebih dari 80 km, cukup untuk kegunaan harian di dalam bandar.

Untuk perjalanan jauh, enjin petrol turbo berkuasa kami menjadikan ia praktikal, sama ada memakai mod hibrid ataupun petrol saja. Sampai di destinasi, mereka boleh menggunakan terus tenaga elektrik sahaja untuk perjalanan dekat. 

 

Careta:
Adakah EV ini satu tren sahaja dan mampukah dunia membuang enjin-enjin tradisional untuk digantikan dengan bateri dan motor elektrik?

Frump:
Ketika saya bertugas di Volvo India, pihak pengurusan di Sweden mengumumkan bahawa mereka akan berhenti menghasilkan enjin 6 dan 8-silinder.

Ketika itu, saya sendiri merasakan ia adalah satu tindakan yang sangat berisiko. Namun kemudian, Eropah mengetatkan piawaian udara mereka dan ia terus menyekat pembangunan enjin-enjin diesel.

Jualan Volvo terus meningkat hasil tindakan itu dan membuktikan pengguna juga menerima perubahan-perubahan itu. Enjin 4-silinder Volvo dengan kapasiti lebih kecil sekarang terbukti lebih efisien, lebih bertenaga dan lebih mesra alam.

 

Careta:
Adakah jarak gerak untuk EV sekarang mencukupi untuk pengguna kenderaan sekarang? 

Frump:
Untuk kegunaan dalam bandar, model-model EV dari Volvo mempunyai jarak gerak yang lebih dari mencukupi. Pembinaan lebih banyak stesen-stesen caj pantas di sepanjang lebuhraya dalam negara pula akan membantu untuk EV bergerak dari bandar-bandar besar ke lokasi lain.

Careta:
Adakah Volvo akan membina pusat caj mereka sendiri? 

Frump:
Volvo tidak mempunyai rancangan untuk membina pusat caj sendiri dan kami percaya ia patut dilakukan oleh syarikat-syarikat yang khusus dalam bidang tersebut. 

Namun begitu, pusat-pusat jualan dan servis Volvo akan terus dilengkapi dengan lebih banyak pengecaj untuk kemudahan pengguna EV.
Kami juga yakin bahawa jika kediaman mempunyai pengecaj peribadi, penjualan EV akan meningkat dengan lebih cepat. 

 

Careta:
Ketiadaan enjin tradisional pada EV menjadikan ia lebih mudah dan murah untuk diselenggara. Bagaimana pusat servis Volvo akan menggantikan sumber pendapatan yang bakal hilang dari kehadiran EV yang semakin popular? 

Frump:
Benar, kos penyelengaraan berkala akan menurun dengan banyak untuk EV tetapi kami melihat peningkatan dari beberapa aspek lain.


Contohnya, permintaan untuk penyelengaraan sistem brek dan juga penggantian tayar semakin meningkat. Kami juga membuat pelaburan untuk perkhidmatan membaiki badan kereta (Volvo Certified Damage Repair) kerana kami mahukan produk-produk kami dibaiki dengan lebih efisyen untuk pelanggan kami.

 

 

Careta:
Adakah Malaysia satu pasaran penting untuk Volvo?

Frump:
Penerimaan teknologi baru oleh pengguna-pengguna automotif di Malaysia adalah yang paling mudah dan pantas, dan ini jelas terbukti dari peratusan jualan EV dan PHEV kami.

Selain dari itu, Volvo bukan setakat hanya menjual, tetapi kami memasang model-model PHEV (Plug-in Hybrid Electric Vehicle) dan BEV (Battery Electric Vehicle) Volvo untuk dieksport ke pasaran sekitar.

Malah, Volvo ialah satu-satunya syarikat automotif yang memasang dan mengeksport EV dan PHEV di Malaysia!

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Seorang peminat tegar Lego, David Gustafsson kini merealisasikan meme tersebut dengan menghasilkan…
Berita Global
Divisyen Volvo Heritage baru-baru ini telah mendedahkan lakaran SUV rekaan berkotak yang tidak…
Berita Global
Volvo juga merekodkan jualan kereta eletriknya dengan mencatakan peningkatan sebanyak 70 peratus…