4 kamera AWAS akan dipasang di kawasan Terowong Menora

oleh Mohamad Hanif|
Empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan ditambah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) iaitu sebelum dan selepas Terowong Menora di sini, bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan terbabit.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata operasi pemasangan kamera AWAS di kedua-dua arah laluan panas itu telah diluluskan Kementerian Pengangkutan dan dijangka dilaksanakan pada hujung tahun ini.

"Penambahan itu menjadikan keseluruhan 49 kamera AWAS yang terdapat di seluruh negara termasuk 22 di PLUS setakat ini.

"Kami juga dalam kajian untuk menambah lebih kamera AWAS di kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya," katanya pada sidang media sempena lawatan ke Stesen Penguat kuasa Unit Penguatkuasaan Lebuhraya (UPLR) JPJ Jelapang di sini, hari ini.

Beliau berkata, had kelajuan yang ditetapkan kepada kenderaan yang melalui penempatan empat kamera AWAS di Terowong Menora adalah 70 kilometer sejam (km/j) berbanding kamera AWAS lain yang menetapkan had laju 110km/j.

Shaharuddin berkata, aspek teknikal dan spesifikasi pemasangan kamera itu kini berada di peringkat akhir untuk menentukan kesesuaian lokasi yang strategik dengan kerjasama pihak PLUS Malaysia Berhad.

Katanya, fungsi kamera AWAS di lokasi berkenaan akan dipantau oleh UPLR yang mula beroperasi di pusat kawalan Stesen Penguat kuasa UPLR JPJ Jelapang pada 1 Julai lalu.

"Pengiraan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) kamera AWAS juga masih sama pada pelaksanaannya nanti," katanya.

Sementara itu, Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata pemasangan kamera AWAS di kawasan Terowong Menora diyakini dapat menurunkan kadar kemalangan memandangkan lokasi terbabit adalah lokasi panas kemalangan terutamanya membabitkan kenderaan berat.

"Rekod menunjukkan memang ada disiplin dalam kalangan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan namun dengan pemasangan kamera ini dan kehadiran pasukan pemantau pasti akan dapat meningkatkan tahap keselamatan di laluan itu.

"JPJ melaksanakan penguatkuasaannya dan menetapkan isu teknikal serta spesifikasi manakala pihak PLUS menyediakan bekalan kuasa dan peralatan kamera AWAS," katanya. - BERNAMA

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  “Saya yakin projek ini akan dapat dilaksanakan sebab kita rasa resah saban minggu berlaku…
Berita Domestik
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri menyokong projek pihak…
Informasi
"Namun laluan kontra (melalui lorong bertentangan) masih diaktifkan. Trafik arah selatan perlahan…