2 maut, 37 cedera dalam kemalangan bas dengan treler

oleh Firdaus Razani|
Dua maut manakala 37 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.30 pagi mengakibatkan bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan.

Beliau berkata, bas berkenaan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Nor Azman berkata, seorang guru maut di lokasi kejadian, manakala pemandu kedua meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila keadaan gelap di simpang tiga Bahau dan pemandu bas itu telah hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi, sebelum terbalik di cerun jalan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata identiti mangsa yang meninggal dunia sedang dikenal pasti dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan.

Nor Azman meminta saksi kejadian supaya tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

SUMBER : Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, faktor jalan raya hanya menyumbang dalam peratusan kecil selain faktor alam yang…
Berita Domestik
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof ketika dihubungi malam ini dan…
Berita Domestik
Pemandu tersebut dikatakan terlupa untuk menarik brek tangan kereta yang dipandu sehingga kenderaan…