4 terkorban dalam nahas bas Jalan Kuantan-Segamat

oleh Firdaus Razani|
Seorang lagi guru yang terbabit dalam kemalangan bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat di sini awal pagi tadi meninggal dunia, menjadikan jumlah mangsa maut seramai empat orang setakat ini.

Mangsa ketiga sebelum ini yang meninggal dunia dikenali sebagai Hamzah Ahmad berusia 60 tahun yang juga seorang guru disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof ketika dihubungi malam ini dan memaklumkan mangsa keempat meninggal dunia dikenali sebagai Dahlia Ahmad berusia 52 tahun.

"Mangsa meninggal dunia pada 9.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan," katanya.

Menurutnya 10 mangsa kini masih menerima rawatan manakala 25 dibenarkan keluar selepas menerima rawatan pesakit luar.

Sementara itu, anak Dhalia, Huda Hamizah, 23, berkata beliau tidak menyangka pelukan dan ucapan 'Saya cintakan awak' kepada bapanya merupakan yang terakhir sebelum berlepas mengikuti rombongan tersebut.

"Sudah menjadi kelaziman untuk ibu bersalam dan peluk ayah sebelum keluar rumah namun ucapan "saya cintakan awak" adalah jarang sekali diungkapkan ibu.

"Kali terakhir kami jumpa pagi Sabtu sebelum bertolak ke politeknik di Kedah. Ibu tidak dapat ikut kerana ada Kem Bestari Solat di sekolah sebelum malamnya bergerak mengikuti rombongan tersebut.

"Agak terkilan juga sebab tidak dapat peluk Umi (ibu) pada hari terakhir," kata anak sulung daripada lima beradik ini ketika ditemui di Unit Forensik HTAA.

Huda Hamizah berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah, Melaka pagi esok.

Guru berkenaan adalah mangsa keempat selepas Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah Melaka, Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, dan pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60.

Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

 

SUMBER : Harian Metro , Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, faktor jalan raya hanya menyumbang dalam peratusan kecil selain faktor alam yang…
Berita Domestik
Pemandu tersebut dikatakan terlupa untuk menarik brek tangan kereta yang dipandu sehingga kenderaan…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira…