16 hukuman memandu yang telah diketatkan!

oleh HEZERI SAMSURI|
Semalam Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang bakal meminda beberapa hukuman sedia ada.

Pindaan 2020 membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Perubahan itu akan membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu dan memberi fokus kepada tiga aspek utama - pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol dan pemandua secara melulu dan merbahaya.
Modenas

Di bawah ialah antara pindaan yang dibincangkan.

1. Memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kemalangan atau kematian pengguna jalan raya lain kini dikategorikan sebagai pemanduan secara melulu atau merbahaya.

2. Kadar maksimum alkohol dalam badan diturunkan agar definisi pemandu mabuk lebih mudah dikenakan kepada tertuduh. Kadar alkohol kini ditetapkan 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100ml darah atau 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.

3. Basikal lajak kini ditakrifkan sebagai kenderaan motor, dan akan mengakibatkan denda minimum RM1,000 atau maksimum RM5,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.

4. Memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.

5. Tempoh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dinaikkan kepada minimum lima tahun, manakala 10 tahun bagi sabitan seterusnya.

 

 

6. Denda bagi kesalahan Seksyen 43 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa akan dinaikkan kepada minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000, manakala antara RM10,000 hingga RM15,000, bagi sabitan seterusnya. Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh maksimum 12 bulan dalam dua-dua keadaan.

7. Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama.

8. Bagi sabitan seterusnya untuk memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, pesalah berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun; denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

9. Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun; denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama.

10. Bagi kesalahan sabitan seterusnya, pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun.

11. Seksyen 45 iaitu menjaga (being in charge) sebuah kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah pula akan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun; denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. 

 

 

12. Kesalahan seterusnya akan berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun; denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun.

13. Seksyen 45A pula ialah memandu atau menjaga kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun; denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama.

14. Sabitan seterusnya boleh menyebabkan pesalah berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun; denda minimum RM20,000 atau maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun.

15. Jika pemandu gagal ujian nafas mengikut Seksyen 45B iaitu Ujian Nafas dan Seksyen 45C berkaitan Pengadaan Spesimen Bagi Analisis, akan dipinda kepada penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 bagi sabitan pertama.

16. Sabitan seterus akan dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000 atau maksimum RM50,000.

* Artikel berdasarkan artikel dari Berita Harian dan The Star

 

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata jika ada sebarang laporan mengenai kejadian itu, pihak JPJ akan melakukan…
Informasi
  "Sebanyak 70 peratus pengurangan ditawarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang…
Informasi
  "Selain cadangan mengenakan hukuman yang lebih berat di bawah Seksyen 41 hingga 45 Akta 333 yang…