Katanya, Tasik Kenyir di sini adalah antara lokasi yang paling sesak dengan pengunjung berbanding jeti-jeti pulau peranginan di Pulau Perhentian, Redang dan Kapas.
“Bilangan pengunjung dijangka terus meningkat pada minggu seterusnya dengan kepulangan anak perantau dan pelancong yang menggunakan perkhidmatan rumah bot serta bot laju susulan kebenaran rentas negeri.
“Sehubungan itu, polis turut menambah kekuatan pasukan pemantau di Tasik Kenyir yang terdiri daripada 12 pegawai dan 35 anggota bagi melancarkan aliran trafik di samping aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas program pemantauan pematuhan SOP Covid-19 di Tasik Kenyir, semalam.
Rohaimi berkata, sejak kebenaran rentas negeri Isnin lalu, belum ada kompaun dikeluarkan di pusat-pusat peranginan membabitkan pulau dan tasik di Terengganu.
Dalam pada itu, katanya, pemantauan turut digiatkan di kawasan tumpuan ramai termasuk di Pantai Batu Buruk, Pantai Seberang Takir, jambatan angkat (drawbridge) dan kedai-kedai makan ikan celup tepung.
“Pemerhatian mendapati tahap pematuhan SOP di Terengganu kini 97 peratus dan selagi tiada penambahan kompaun secara mendadak, maka kita anggap keadaan terkawal,” katanya.