10 tips mencari mekanik

oleh Careta.my|
Menghantar kenderaan ke pusat servis yang bertauliah dari jenamanya sendiri ialah cara terbaik untuk memastikan kenderaan anda berada di dalam keadaan terbaik.

Bukan sahaja anda akan dapat kepastian bahawa alat ganti yang digunakan adalah tulen, tetapi pusat servis tersebut akan memberikan jaminan dan waranti untuk alat ganti dan kerja pemasangan. Para mekanik di situ pula terlatih untuk menyelenggara kenderaan dari jenama tersebut.

Alatan komputer juga khusus untuk kenderaan dari jenama itu.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

 

Namun begitu, ramai yang membeli kenderaan terpakai atau reconditioned dan mahu menghantar kenderaan mereka untuk diservis di tempat lain.

Kos yang lebih rendah juga menjadi sebab popular kenapa mekanik-mekanik bebas ini masih penting.

Careta hari ini berkongsi tip-tip untuk mencari mekanik yang baik.

 

1. Minta pendapat rakan

Cara paling berkesan ialah referral, iaitu mekanik yang disyorkan oleh rakan-rakan, keluarga atau jiran.

Pastikan mereka sudah melanggan dengan mekanik tersebut untuk jangka masa yang lama. Kalau baharu sekali dua, saranan mereka tidak begitu kukuh. Cara ini bagus kerana mekanik tidak mahu hilang dua pelanggan sekaligus - anda dan rakan atau saudara yang mengesyorkan beliau.

 

2. Tanya kelab kereta

Ramai juga yang berkata kelab-kelab kereta ini poyo semata.

Kelab-kelab ini ada gunanya kerana mereka lebih arif tentang masalah kereta mereka dan mereka sedia berkongsi pengalaman.

Mereka pasti tahu mekanik mana yang terbaik dan dari mana untuk dapatkan barang ganti tulen dan murah. Paling menarik, ahli kelab mampu menasihatkan anda untuk bersedia dengan masalah-masalah yang akan datang.

Kereta anda dibuat oleh manusia, maka ia tidak sempurna dan akan rosak. Percayalah.

 

3. Periksa dari laman web

Ada banyak laman web atau forum yang membincangkan masalah setiap jenama kenderaan. Kalau rajin, cari info dahulu supaya anda lebih bersedia bila berjumpa dengan mekanik. Paling penting, anda tahu anggaran kerosakan dan risiko untuk disembelih hidup-hidup akan dikurangkan.

 

4. Buat lawatan

Sekiranya anda tahu mekanik mana yang disyorkan, buat lawatan dan periksa samada kerja tangan mereka memuaskan hati anda. Keadaan kedai juga penting kerana sekiranya anda perlu tinggalkan kenderaan anda, anda tahu ia tempat yang selamat. Ada mekanik yang mengambil terlalu banyak kereta, kereta-kereta dibiarkan bersepah di tepi jalan dan risiko untuk dilanggar atau dicuri sangat tinggi.

 

5. Untuk kenderaan berjenama, periksa keselamatan bengkel

Untuk anda yang memandu kenderaan berjenama, pastikan keselamatan di bengkel itu cukup. Tanya bagaimana mereka menyimpan kunci kenderaan. Sudah banyak kes terjadi di mana orang lain menyamar menjadi pemandu dan mencuri kenderaan dari bengkel. Pastikan ada kamera litar tertutup (cctv) di bengkel.

 

6. Tiada bengkel yang tahu semuanya

Sekiranya pendingin hawa anda rosak, hantar ke pakar, bukan ke kedai tayar. Kedai tayar memang ada menyediakan pusat servis one-stop centre tetapi dari pengalaman kami, hanya pakar yang yang lebih arif dan lebih murah.

 

7. Bandingkan harga

Sebelum tinggalkan kenderaan anda, minta mekanik itu anggaran kos dan tulis di atas kertas. Ada kes di mana mekanik memberi anggaran yang rendah, tetapi bila siap, bil menjadi sekali ganda dan anda tidak diberitahu tentang penambahan tersebut.

 

 

 

8. Bawa suami atau teman lelaki

Walaupun pedih tetapi ia realiti, ramai pemandu wanita menjadi mangsa kerana tidak arif dengan kenderaan mereka. Jadi, apakata suruhlah suami tercinta atau rakan-rakan yang lebih arif untuk membawa kenderaan itu ke bengkel.

 

 

9. Jadi rakan kepada mekanik

Ringankan mulut dan bersahabat dengan mekanik anda. Tapi jangan sampai menggunakan beliau. Beliau pun berniaga, maka hormati perniagaan beliau. Walau sekecil mana pun bantuan beliau, masa yang beliau ambil itu ialah duit.

 

 

10. Bukan semua mekanik itu penipu

Ada ramai mekanik yang jujur, cuma mereka sendiri tidak akan dapat memuaskan hati kesemua pelanggan mereka. Sekiranya anda bertanya pada 20 orang dan cuma seorang sahaja yang tidak berpuas hati, cuba selidik masalahnya. Sering terjadi, pemilik kereta yang tidak faham masalah kereta mereka dan menuduh mekanik itu menipu.

Mungkin anda ada lagi beberapa tips yang baik dan boleh dikongsikan bersama.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Era Maju Automobil (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat berpusat di Johor Bahru,  dipilih menjadi sebagai…
Berita Domestik
“Kejadian mengakibatkan sebuah kereta Toyota Corola, dua Perodua Kancil, dua Proton Wira dan sebuah…
Informasi
  Katanya, beliau tergerak untuk menghulurkan bantuan itu, apabila melihat banjir kali ini yang…