10 tahun tunggang motosikal tanpa lesen, tanpa cukai jalan!

oleh Penyumbang Rencana|
Penunggang motosikal berkenaan ditahan dalam operasi Hari Raya Aidiladha 2024 berdekatan Plaza Tol PJS pada Khamis./ Gambar dari Sinar Harian
Tindakan seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa lesen sejak 10 tahun lalu terbongkar selepas ditahan dalam Ops Hari Raya Aidiladha 2024 berdekatan Plaza Tol PJS pada Khamis.

Lebih mengejutkan, motosikal yang ditunggang individu itu turut tamat cukai jalan dalam tempoh yang sama.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki berumur 40-an itu ditahan dalam operasi dijalankan kira-kira jam 10 pagi.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati individu terbabit tidak memiliki lesen memandu sejak 10 tahun lalu selain motosikal yang digunakan telah tamat cukai jalan.

"Perbuatan sebegini jelas sekali memberikan risiko bukan sahaja kepada individu terbabit malahan kepada penunggang jalan raya lain sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, operasi sama turut mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pengguna di Subang Jaya.

"Sebanyak 219 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan turut melibatkan pelbagai jenis kenderaan.

"Antara kesalahan yang ketara dikesan melibatkan pengguna adalah tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Menurutnya, operasi sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan pematuhan pengguna terhadap peraturan jalan raya.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam tempoh enam bulan sejak Julai lepas, 85 nahas lalu lintas melibatkan skuter elektrik…
Berita Domestik
Mereka yang merupakan sebahagian daripada 942 perserta program itu, menerima lesen pada satu maljis…