10 sebab kenapa Kawasaki Ninja 250 2018 mampu kalahkan CBR250 RR dan R25 di Indonesia

oleh HEZERI SAMSURI|
Setelah sekian lama menunggu, akhirnya Kawasaki Malaysia membawa masuk model Ninja terkini mereka.

Ninja 250 baharu ini menggantikan Ninja 250 lama dan juga Ninja 250SL dengan enjin silinder tunggal.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini adalah satu tindakan yang bijak kerana penjualan motosikal 250 cc semakin menguncup dan Ninja baharu  cukup kuat untuk menjadi senjata utama Kawasaki dalam genre sport suku liter tempatan.

Kawasaki memperkenalkan model ini sewaktu Tokyo Motor Show 2017 (Careta ada di pameran tersebut) dan ia terus menjadi sebutan ramai, terutama dari Indonesia kerana pasaran 250cc terbesar rantau ini kini berada di negara jiran itu.

Kawasaki mempunyai tugas yang sukar kerana Ninja ini perlu menumpaskan Honda CBR 250RR dan Yamaha R25, keduanya dengan mudah menumbangkan model Ninja terdahulu.

 

 

Namun kerja keras pasukan R&D Kawasaki nampaknya terbukti berbaloi kerana Ninja 2018 menjadi motosikal sporti Jepun 250 cc paling popular di Indonesia.

Jualan tahunan 2017 menunjukan Ninja 250 ini jauh mendahului CBR250 RR dan R25. 

Dari Mac 2017 sehingga Mac 2018, sebanyak 5,765 unit Ninja 250 terjual di Indonesia. 

Honda pula cuma mampu menjual 731 unit model CBR250RR dan Yamaha pula menjual sebanyak 368 unit model R25 (sumber dari Motoris.ID).

 

 

Kita lihat apakah aspek-aspek yang menyebabkan Ninja ini menjadi juara di pasaran motosikal Indonesia yang menjual hampir 6 juta unit motosikal tahun lalu.

 

 

Enjin baharu 5Kw lebih kuasa
Enjin 250cc dua silinder selari serba baharu ini adalah lebih bertenaga (5kW lebih bertenaga dari enjin lama), lebih responsif (salur kemasukan udara lebih pendek dan kotak udara yang lebih besar) dan lebih efisien.

 

 

Kerangka baharu ala H2
Seperti Kawasaki H2 Supercharged, Ninja 250 ini menggunakan teknologi kerangka Trellis untuk mendapat platform yang lebih ringan dan lebih tegap. Malah enjin sekarang menjadi salah satu dari komponen kerangka Ninja cilik itu.

 

 

Lebih ligat, lebih agresif
Kerangka Ninja menjadikan jarak antara roda lebih rapat sementara lengan ayun belakang lebih panjang. Kedudukan fork hadapan dengan sudut yang lebih menegak juga memberikan sifat lebih sporti.

 

 

Ekzos baharu
Ekzos 250 ini lebih ringkas, lebih lurus dan dinding paip dikurangkan 0.8 mm tebal agar keseluruhan sistem ekzos lebih ringan.

8kg lebih ringan
Walaupun enjin Ninja 250 ialah enjin 2-silinder, usaha mengurangkan berat dilakukan agar pakej Ninja ini 8 kg lebih kurang sama ringan dengan Ninja 250SL dengan silinder tunggal. 

 

 

Assist & Slipper Clutch terbaharu
Klac slipper yang digunakan ialah peningkatan yang lebih baik dari yang ada pada Versys X 250. Ia lebih ringan tetapi masih memberikan respon yang baik untuk penunggang tahu bila ia mula "menggigit".

 

 

Brek cakera sebesar brek ZX-14R
Prestasi brek sama penting dengan prestasi memecut, dan brek hadapan Ninja 250 baharu menggunakan cakera yang berdiameter 310 mm - sama saiz dengan model Ninja ZX-14R.

Lebih mudah ditunggang
Walaupun jarak pelana ke bumi ialah 785 mm, pelana "dikuncupkan" sebanyak 30 mm agar penunggang masih boleh meletakkan kaki ke tanah.

 

 

Lampu kembar LED
Selain dari bentuk yang lebih aerodinamik, lampu hadapan Ninja ini ialah dari LED. Ia bukan sahaja selamat, tetapi jelas nampak jauh lebih menarik dan tidak membosankan. Rupabentuk menarik ialah antara faktor penting untuk genre ini.

 

 

Paparan meter sama dengan Ninja 650
Walaupun ini model suku liter, Kawasaki memberikan panel meter Ninja 650 agar pemilik mendapat nilai terbaik dari duitnya.

Ninja 250 ini dipasang di Malaysia dan komponen-komponen kebanyakannya didatangkan dari Indonesia sendiri. Kerana itu harganya ialah dalam lingkungan RM23,071 (GST sifar) walaupun ia sarat dengan teknologi terkini.

Untuk yang berminat, jangan lepaskan peluang untuk memiliki Ninja 250 ini pada harga GST sifar.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Acara itu disempurnakan oleh Pengarah Kawasaki Johor Bahru, Qbee Ng bersama Ketua Pegawai Eksekutif…
Pelancaran Motosikal
Sejak Modenas ZX-25R SE diperkenalkan di Malaysia pada September 2023 lalu, model ini terus…
Berita Domestik
Kempen panggil balik tersebut melibatkan penambahbaikan bahagian bawah kerangka seperti yang…