
Kia menyasarkan untuk mencapai karbon neutral di dalam kesemua operasi syarikat menjelang 2045.
Misi itu juga boleh dilihat melalui Strategi Reka Bentuk Kelestarian (Design Sustainability Strategy).
Langkah pertama dalam strategi itu ialah dengan tidak menggunakan kulit di dalam semua produk terbaru syarikat.
Langkah kedua melalui sepuluh bahan lestari yang wajib digunakan di dalam semua model baharu dan dimulakan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) EV9.

Berikut sepuluh bahan lestari yang digunakan di dalam EV9:
1. Bioplastik
Plastik jenis ini dibuat menggunakan sumber biojisim boleh baharu seperti minyak sayuran, ekstrak jagung, habuk kayu dan tebu.
Penggunaan bioplastik juga dapat mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil.
Selain bersifat mapan, bioplastik mempunyai karakter tahan lasak yang sesuai untuk pelbagai komponen pada bahagian dalaman kereta.
Di antaranya papan pemuka, konsol pada tiang dan riasan pada bahagian kabin EV9.

2. Plastik selepas guna (Post-consumer material plastic/PCM)
Seperti namanya, plastik ini dibuat menggunakan bahan kitar semula dari bahan sedia ada berbanding pelet baharu.
Daripada dibuang ke tapak pelupusan dan mencemar alam sekitar, lebih baik digunakan semula dan semestinya melalui proses-proses tertentu sebelum dijadikan bahan baru.
Untuk EV9, PCM digunakan pada riasan pintu.

3. Bio PU
Di dalam misi tanpa penggunaan kulit, Kia mendapati Bio Poliuretana (Bio Polyurethane/PU) boleh dijadikan pengganti yang bersesuaian.
Bahan ini dapat mengurangkan pelepasan karbon dan boleh diadun dengan komponen berasaskan tumbuhan.
Bio PU selesa untuk dijadikan kerusi dan turut digunakan pada penutup perkakasan kabin EV9.

4. Fabrik PET kitar semula
Polietilena Tereftalat (Polyethylene terephthalate/PET) merupakan plastik yang paling mudah untuk dikitar semula dan ideal untuk pelbagai barang dari botol air hingga pakaian.
Bahan ini tahan impak, kelembapan dan larutan dan fabrik yang ideal untuk menutupi permukaan yang terdedah di dalam kabin kereta.
Kia pergi lebih jauh dengan menggunakan bebenang kitar semula bagi menghasilkan fabrik PET supaya tahan lasak dan mapan.
Setiap EV9 menggunakan sekurang-kurangnya 70 botol kitar semula dan bahan yang diproses semula itu boleh ditemui pada kerusi dan penyandar kepala.
Bahan itu juga digunakan pada pelapik bumbung, penghadang matahari dan riasan dalaman.

5. Karpet PET Kitar Semula
Kia menggunakan PET yang 100 peratus dikitar semula pada karpet EV9 standard. Kia juga menawarkan pilihan karpet yang sebahagiannya dibuat dari jala ikan kitar semula.
Jala ikan yang dibuang dan hanyut merosakkan hidupan laut di serata dunia.
Bukan sedikit, sekitar 640,000 tan perkakasan perikanan hanyut di lautan setiap tahun dan mengakibatkan kematian kepada hidupan laut termasuk ikan paus, anjing laut dan burung!
Kedua-dua PET kitar semula dan jala ikan digunakan pada karpet yang melindungi lantai kabin EV9.
6. Busa Bio PU

Busa Poliuretana (PU) digunakan pada pelbagai barangan seperti alatan sukan sehingga penebat pesawat ulang alik angkasa.
Bahan itu tahan lasak dan karakter redamannya menjadi pilihan ideal untuk digunakan sebagai bahan kenyal pada perabut, tilam dan kasut.
Dibuat dari minyak semula jadi, busa PU Kia mempunyai ketahanan dan kelembutan seperti poliuretana biasa dan pada masa sama mengurangkan impak pada alam sekitar.
Bahan itu digunakan pada penyandar kepala EV9.
7. Cat Bio

Cat bio lebih lebih mapan berbanding cat yang dibuat dari minyak mentah dan turut mengurangkan sisa kimia dari proses pembuatannya.
Cat bio Kia dibuat dari minyak sesawi, sejenis minyak sayuran yang diperoleh dari biji sesawi yang biasa digunakan di dalam makanan, biobahan api, cat, kosmetik, industri farmaseutikal.
Cat itu digunakan pada suis panel pintu EV9.
8. Cas bebas BTX (Benzena, Toluena, Xilena)

Cat dengan BTX mempunyai kesan pada alam sekitar.
Dengan cat bebas BTX, Kia masih dapat mengekalkan kualiti dan kemasan dan pada masa sama meminimumkan penggunaan bahan kimia yang mencemar alam sekitar.
Hampir keseluruhan dalaman EV9 menggunakan cat bebas BTX kecuali panel suis tingkap pintu yang dilapisi cat bio.
9. Bebenang PET kitar semula
PET sekali lagi digunakan Kia dan boleh ditemui pada sulaman kerusi.
10. Pelapik PET kitar semula

Tidak boleh disangkal lagi kegunaan PET apabila Kia menggunakan pelapik yang dibuat dari botol PET kitar semula.
PET juga bahan yang baik dalam menyerap akustik dengan mengurangkan bunyi transmisi dari bahagian belakang kereta sehingga keseluruhan kabin.
Pelapik PET kitar semula digunakan pada papan bagasi EV9.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
