Pandu Uji: Lima Perkara Yang Kami Hargai Pada Honda HR-V RS e:HEV

oleh Mohamad Hanif|
Sedar ataupun tidak, sudah lebih setahun sejak Honda Malaysia melancarkan model SUV segmen B generasi baharu Honda HR-V.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Penawaran HR-V juga agak unik di sini, di mana ia merupakan satu-satunya model SUV yang ditawarkan dengan tiga pilihan enjin, iaitu enjin 1.5 liter aspirasi natural (121 PS/145 Nm), enjin 1.5 liter turbo (181 PS/240 Nm), serta enjin hibrid 1.5 liter e:HEV (131 PS/253 Nm).

Tidak menghairankan apabila SUV berlogo H ini memang bersepah atas jalan, sebab ia mampu memenuhi keperluan ramai pihak terutama bagi mereka yang memang mencari sebuah SUV yang praktikal dan dalam masa yang sama berkuasa di atas jalan.
 

H


Sesi pandu uji yang singkat tempoh hari memberikan impresi yang sedikit negatif terhadap HR-V e:HEV RS, jadi kami mencari peluang untuk memandu SUV ini sekali lagi beberapa minggu yang lalu.

Ternyata, sangkaan awal kami silap, dan kami berjaya menemukan perkara yang dapat memadamkan perasaan negatif kami.

Berikut merupakan lima perkara yang kami sangat-sangat hargai pada Honda HR-V RS e:HEV.

 

1. Mod pemanduan Sport

Sport


Secara jujurnya, pemanduan Honda HR-V RS e:HEV ini tidaklah seseronok memandu HR-V turbo.

Ini kerana walaupun atas kertas enjin ini nampak bertenaga (131 PS, 253 Nm), kuasa tersebut hanya boleh dinikmati dalam tempoh masa yang singkat.
 

sport


Selebihnya, anda perlu bergantung kepada enjin 1.5 liter kitaran Atkinson untuk bekerja keras menyalurkan tenaga kepada motor elektrik untuk bergerak sekiranya kuasa bateri kekurangan atau kehabisan.

Seperkara yang kami perasan, apabila mod pemanduan Sport diaktifkan menggantikan mod Normal, perasan lembap yang kami alami itu hilang serta-merta, malah ia menjadikan pecutan lebih pantas dan pemanduan lebih lancar.

Biasanya, mod Sport ini kami akan sentuh apabila diperlukan, tapi pada HR-V e:HEV RS ini, kami suka aktifkannya sepanjang masa.

Aneh bukan?

 

2. Corong pendingin hawa unik

H


Cuaca panas di Malaysia adakalanya memerlukan kita memasang sistem pendingin hawa dengan kelajuan kipas yang penuh demi mencapai suhu kabin yang selesa.

Namun adakalanya aliran angin sejuk yang pantas dari corong pendingin hawa itu mampu menjadikan pemanduan yang tidak selesa.

Mujur, Honda HR-V mempunyai satu ciri unik yang dinamakan sebagai Air Diffusion System, di mana ciri ini membolehkan udara sejuk disebarkan dengan lebih sekata menerusi corong berbentuk L ke arah sisi dan bumbung.
 

H


Aliran udara yang terkawal ini juga dikatakan mampu menjadi penghalang haba panas daripada memasuki kabin melalui tingkap sisi.

Pulas sahaja tombol yang terdapat pada corong udara, dan anda akan dapat merasakan keselesaan udara sejuk yang tidak terlalu mencucuk hidung.

 

3. Praktikal untuk bawa barang

H


Salah satu kekurangan yang ada pada mana-mana kereta hibrid ialah kekangan ruang disebabkan oleh saiz bateri sistem hibrid yang digunakan.

Namun tidak bagi Honda HR-V RS e:HEV, di mana ia masih lagi mampu menawarkan ruang kargo sebesar 335 liter di belakang.
 

H


Selain itu, SUV generasi baharu ini masih lagi mengekalkan ciri Ultra Seats yang boleh dibaring rata untuk ruang kargo yang lebih besar, atau dilipat ke atas untuk barangan yang tinggi yang tidak boleh dibaringkan - seperti pasu bunga.

Pendek kata, HR-V memang SUV mesra famili!

 

4. Tidak lokek dengan ruang storan kecil

G


Selain daripada ruang kargo yang besar, HR-V juga turut menawarkan ruang-ruang storan yang kecil di sekitar kabin.

Selain daripada tempat meletakkan cawan dan botol yang boleh didapati pada panel pintu dan konsol tengah, anda juga boleh meletakkan peranti pintar pada ruang kosong yang terdapat pada bahagian bawah tombol kawalan suhu kabin.
 

G


Terdapat juga ruang storan tambahan di bahagian hadapan tombol gear, sesuai untuk meletakkan barangan kecil seperti bank kuasa, atau peranti SmartTAG.

Tidak dilupakan, storan kecil yang boleh didapati pada bahagian bawah perehat tangan.

 

5. Rekaan luaran, pilihan hati mak mertua!

H


Tidak seperti model HR-V yang terdahulu yang nampak macam kuih pau, HR-V generasi baharu ini memang cantik dipandang.

Rekaan lampu depan yang tajam, diikuti dengan struktur jeriji yang agak besar dengan kemasan corak krom, rim aloi bersaiz 18 inci pada keempat-empat sudut, diikuti dengan unit lampu belakang yang didatangkan dalam perumah jernih.
 

H


Tidak cukup dengan itu, pada bahagian bampar hadapan turut didatangkan dengan kemasan aksen berwarna merah, logo RS berwarna merah, serta logo H dengan aksen biru - menunjukkan HR-V ini sebuah SUV mesra alam.

Jangan tak tahu, H juga sebenarnya lambang kereta mesra mak mertua!

 

Poin ekstra: HR-V calon sesuai untuk anda nikmati pemanduan elektrik

H


Seperti yang pernah kami terangkan sebelum ini, Honda HR-V RS e:HEV merupakan antara model yang mampu menawarkan mod pemanduan elektrik.

Namun, disebabkan saiz bateri yang kecil, ia hanya mampu membenarkan pemanduan sifar emisi pada jarak yang dekat sahaja.

Usah risau, kerana mod EV ini sebenarnya anda boleh rasakan dengan ketara pada kelajuan rendah, terutama ketika memandu di kawasan parkir kereta, atau sedang menempuh kesesakan trafik di ibu kota.
 

H


Jika anda masih lagi ragu-ragu untuk beralih kepada kenderaan elektrik, disebabkan oleh harga dan prasarana yang masih terhad, kami sarankan cuba dahulu model-model hibrid seperti Honda City e:HEV, City Hatchback e:HEV dan HR-V e:HEV.

Setidak-tidaknya, anda tidak perlu berfikir panjang untuk menukar gaya hidup dan cara pemanduan yang sudah terbiasa bertahun-tahun itu.

Baca: Pandu Uji Honda HR-V RS e:HEV

Baca: Pandu Uji Honda HR-V 1.5 Turbo


Spesifikasi ringkas Honda HR-V RS e:HEV
Enjin 1.5 liter kitaran Atkinson (107 PS, 127 Nm)
Motor elektrik (131 PS, 253 Nm)
Kadar penggunaan bahan api 4.1 liter/100 km
Bateri 1.1 kWh
Pecutan 0-100 km/j 10.7 saat
Suspensi topang MacPherson/Torsion Beam
Rim 18 inci
Honda SENSING (FCW, CMBS, LDW, LKAS, RDM, ACC, LSF, AHB, LCDN)
Honda LaneWatch
Harga RM140,800

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…