Pandu Uji HR-V 1.5L RS e:HEV - SUV Hijau Mesra Pemanduan Urban

oleh Mohamad Hanif|
Satu pujian harus diberikan kepada Honda Malaysia kerana berani dan konsisten membawakan varian hibrid dalam (hampir) setiap model yang diperkenalkan di Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bermula daripada model sedan City terdahulu dan terkini, Jazz (yang kemudiannya digantikan oleh City Hatchback), HR-V Sport Hybrid i-DCD dan diteruskan dengan penawaran generasi baharu HR-V yang membawakan nama RS e:HEV.

Sesi pandu uji media Honda HR-V 2022 yang dianjurkan baru-baru ini turut menyertakan varian RS e:HEV untuk diuji sendiri oleh pengamal media.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Pemanduan seperti sebuah EV, dengan bantuan petrol

RS


Untuk makluman, Honda HR-V RS e:HEV tidaklah dilengkapi dengan enjin turbo seperti varian V, sebaliknya ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson (107 PS/131 Nm) serta motor elektrik berkuasa 131 PS dan 253 Nm, dengan penggunaan bahan api serendah 4.1 liter untuk setiap 100 km.

Tetapan trenkuasa e:HEV membolehkan pemanduan sifar emisi dilakukan namun dalam jarak yang lebih dekat disebabkan saiz kapasiti bateri yang agak kecil.

Mod EV ini mampu dirasai pada julat kelajuan yang rendah, seperti saat memulakan pemanduan serta pemanduan di dalam bandar, sementara mod Hybrid pula akan diaktifkan di mana enjin hanya bertindak sebagai penjana kuasa untuk disalurkan kepada motor elektrik.

Hanya pada kelajuan tinggi sahaja baharulah kuasa daripada enjin itu akan disalurkan terus kepada roda menerusi mod Engine Drive.

Berdasarkan pemanduan ringkas, Honda HR-V hibrid ini nyata amat seronok untuk dipandu di dalam bandar dengan keadaan trafik yang pelbagai disebabkan ia mampu menawarkan pecutan segera, terutama di dalam mod EV.

Sayang sekali, pecutan segera itu sukar untuk dirasai terutama apabila SUV tersebut dikerah secara agresif.

 

2. Sensitif bunyi bising enjin? HR-V RS e:HEV ini bukan untuk anda

RS


Ya, ini perkara kedua yang penulis dapat rasakan apabila memandu HR-V ini pada kelajuan yang tinggi di atas lebuh raya merentas dua negeri pantai timur Malaysia.

Ini kerana pada julat kelajuan tersebut, ia tidak lagi menggunakan mod EV atau mod Hybrid, sebaliknya menggunakan mod Engine Drive di mana kuasa daripada enjin disalurkan terus ke roda.

Ini lebih jelas dirasai saat kami mahu memotong kereta di hadapan, bunyi bising daripada enjin kitaran Atkinson itu mula menerjah masuk ke dalam kabin.

Perkara yang sama dialami sewaktu pemanduan City Hatchback RS e:HEV beberapa bulan yang lalu.

Untuk menikmati pemanduan yang senyap, adalah lebih mudah untuk kita menukar cara pemanduan yang lebih santai dan sopan santun.

Atau lebih mudah, pilih sahaja varian Turbo untuk menikmati segenap aspek pemanduan yang lebih mengujakan.

 

3. Ciri pemanduan pedal tunggal

Paddle shifter


Honda HR-V RS e:HEV ini turut didatangkan dengan ciri paddle shifter, namun ia bukanlah digunakan untuk membuat penukaran gear yang pantas.

Sebaliknya, ia digunakan untuk menetapkan tahap kekuatan brek regeneratif, di mana pengalaman pemanduan seperti sebuah EV ini boleh dirasai dengan lebih mendalam dengan menukar posisi gear kepada B.

Secara teorinya, anda boleh menikmati pemanduan pedal tunggal di dalam sebuah Honda HR-V RS e:HEV, namun ia tidaklah senikmat apa yang ditawarkan pada model-model EV tulen, seperti contoh Volvo XC40 EV.

Jadi dengan Honda HR-V RS e:HEV ini, setidak-tidaknya anda sudah dapat merasai pengalaman pemanduan yang ditawarkan oleh kereta sifar emisi sebelum beralih sepenuhnya kepada kereta elektrik pada masa hadapan.

 

4. Ciri keselesaan yang lebih baik

RS


Untuk varian RS yang tertinggi, terdapat beberapa penambahan ciri yang dimuatkan.

Seperti contoh, sistem pendingin hawa kini didatangkan dengan ciri kawalan dua zon berbanding zon tunggal pada varian HR-V yang lebih rendah.

Ia juga turut didatangkan dengan ciri penyeka kaca automatik, serta pintu belakang dengan operasi bebas tangan untuk mengakses ruang kargo sebesar 335 liter.

Tidak ketinggalan, ciri Magic Seats yang diturunkan daripada model HR-V terdahulu menjadikan HR-V RS e:HEV kali ini sangat praktikal dan sama versatil seperti varian HR-V yang lain, walaupun ia sebuah SUV hibrid.

 

5. Selamat, tapi tidak menyeluruh

RS


Statusnya sebagai varian yang paling premium membolehkan Honda HR-V RS e:HEV mendapat kelengkapan keselamatan yang lebih menyeluruh.

Selain daripada Honda SENSING (FCW, CMBS, LDW, LKAS, RDM, ACC, LSF, AHB dan LCDN), ia juga turut dilengkapi dengan Honda LaneWatch yang mampu bertindak sebagai penyelamat bagi mengelakkan sebarang pelanggaran titik buta di bahagian kiri.

Cuma sedikit menjengkelkan apabila ciri paparan LaneWatch ini mampu mengganggu tumpuan pemandu terhadap sistem navigasi terutama apabila kita sampai ke tempat yang tidak biasa dilalui. Namun, ciri ini boleh dinyahaktifkan pada bahagian menu tetapan.

Mungkin lebih afdal sekiranya Honda HR-V varian tertinggi ini didatangkan dengan ciri yang lebih berguna seperti sistem informasi titik buta (BSA) di bahagian kiri dan kanan, serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

Almaklumlah, kebanyakan (bukan semua) rakyat Malaysia ini tidak gemar untuk memandu dan menunggang dalam keadaan yang sopan santun. Tahu-tahu sudah hampir berlanggar di bahagian titik buta.

Harga untuk sebuah Honda HR-V 1.5L RS e:HEV bermula dari RM140,800.

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…