Pandu Uji Honda HR-V 1.5L Turbo 2022 - X50 Sila Ke Tepi!

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa hari sebelum penulis terbang ke Singapura, pihak Honda Malaysia dengan baik hatinya menjemput kami untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan SUV segmen B generasi baharu Honda HR-V.

Varian yang diuji sudah pasti tidak lain dan tidak bukan varian kedua tertinggi HR-V 1.5T V yang didatangkan dengan nadi VTEC Turbo 1.5 liter yang kini menguasai sebahagian besar jualan SUV tersebut di Malaysia.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Tujahan Kuasa yang dinanti-nantikan

HRV


Tidak seperti varian S yang hanya mendapat enjin 1.5 liter NA (121 PS/145 Nm), terdapat pilihan enjin yang lebih berkuasa yang boleh didapati pada varian E dan V.

Enjin 1.5 liter VTEC Turbo itu atas kertas memang berkuasa - 181 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 240 Nm @ 1,700-4,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Diterjemahkan atas jalan raya (khususnya lebuh raya), penulis yakin HR-V kali ini memang mampu untuk menjadi penguasa lorong kanan sepanjang masa.

Memetik kata-kata yang popular di laman media sosial - 'tekan, tekan, pergi' (siapa laa yang cipta ayat ni?) - Honda HR-V 1.5T ini memang mampu membuktikan ia sebuah SUV yang pantas.

Sehinggakan penulis ada kalanya tidak sedar bacaan meter kelajuan sudah pun jauh melebihi had yang dibenarkan di atas Lebuhraya Pantai Timur yang beralun-alun umpama ombak di tepian pantai.

 

2. Aspek pengendalian jauh lebih baik

HR-V


Penulis memang rasa skeptikal pada mulanya.

Ini kerana berdasarkan pemanduan HR-V yang terdahulu, ia tidak langsung membuatkan penulis teruja, walaupun berpuas hati dengan penawaran sedia ada.

Dengan HR-V baharu ini, penulis mula perasan aspek pengendalian sudah ditambah baik, terutama apabila kami dibawa melayan selekoh di jalan lama hala ke Genting Highlands.

Talaan stereng telah menjadi semakin mudah untuk dikawal, senang cerita memang cukup perisa untuk kelajuan rendah mahupun kelajuan yang tinggi.

Ditambah pula dengan talaan suspensi yang cukup selesa dan dalam masa yang sama menjadikan pemanduan berkelajuan tinggi yang stabil.

Balik dari Terengganu, penulis cuba sendiri pemanduan di 'Litar' Karak-KL, dan sepanjang tempoh tersebut senyuman terukir di wajah, membuktikan betapa puas hatinya penulis pada HR-V kali ini.
 

3. Senyap

HR-V


Ya, perkara seterusnya yang penulis perasan sepanjang memandu HR-V turbo ini adalah tahap kesenyapan kabin yang menjadi semakin baik.

Tidak seperti model terdahulu di mana masih kedengaran jelas bunyi operasi CVT, kali ini pihak Honda telah berjaya menyembunyikan bunyi bising tersebut dengan baik dari telinga pemandu, malah, bunyi enjin juga sayup-sayup kedengaran.

Pada kelajuan lebuh raya, bunyi bising angin tidak langsung berjaya memasuki ruang kabin dan cuba mengganggu tumpuan, hanya selepas julat kelajuan tertentu baharulah ia kedengaran dengan jelas.

Tiga poin di atas sudah cukup untuk membuatkan penulis akan memilih Honda HR-V berbanding model-model lain yang ada di pasaran - terutama X50.

Itu pun jika ada pitis yang cukup.

 

4. Sistem pendingin hawa yang tidak mencucuk hidung

HR-V


Uniknya pada model HR-V baharu ini adalah ciri yang digelar sebagai Air Diffusion System dimuatkan pada sistem pendingin hawa.

Ciri pertama untuk sebuah Honda ini membolehkan pemandu dan penumpang hadapan memilih tahap aliran udara yang dikehendaki.

Jika anda tidak selesa dengan aliran udara sejuk yang boleh mencucuk hidung, pulas sahaja tombol kawalan di bahagian kiri dan kanan untuk mendapatkan aliran udara yang jauh lebih lembut dan menyenangkan jiwa.

Prestasi sistem pendingin hawa HR-V zon tunggal ini juga sangat cemerlang, ada kalanya penulis terpaksa meninggikan suhu walaupun keadaan cuaca luar yang panas disebabkan kondisi yang terlalu sejuk di dalam.

 

5. Ciri moden yang menjadikan HR-V Turbo ini berbaloi untuk dibeli

HR-V


Selain daripada enjin turbo, HR-V 1.5T V ini turut dilengkapi dengan ciri lain seperti lampu isyarat membelok depan jenis sekuential, rim aloi bersaiz 18 inci, balutan kulit pada tempat duduk, roda stereng dan tombol gear, tempat duduk pemandu boleh laras lapan tahap, serta sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan Honda SENSING yang standard untuk semua varian seperti Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS), Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Mitigasi Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Mengikut Kenderaan Kelajuan Rendah (LSF) dan Sistem Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN).

 

6. Ia sebuah H.

HR-V


Perlu ke penulis huraikan dengan lebih lanjut?

Untuk pasaran Malaysia, Honda HR-V 1.5T V ini dijual pada harga bermula dari RM134,800.

Berita Berkenaan

Berita Global
Lebih dikenali dengan nama HR-V untuk pasaran Amerika Syarikat, ZR-V 2023 JDM boleh didapati dengan…
Berita Domestik
Serentak dengan itu, pihak Honda Malaysia turut mengadakan upacara penyerahan unit HR-V RS e:HEV…
Berita Domestik
Untuk varian asas, ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter i-VTEC (121 PS/145 Nm), sementara dua…