Langkah terbaharu ini membolehkan jenama tersebut memberikan fokus kepada pembangunan model yang lebih serius, serta elektrifikasi portfolio produk mereka pada masa akan datang.
Sebelum ini, Infiniti bertindak sebagai penaja komersial untuk pasukan Red Bull pada tahun 2011, sebelum menjadi penaja utama setahun selepas itu.
Malah pada tahun 2016, jenama mewah Jepun itu menjadi lebih aktif di dalam sukan Formula One dengan menjadi rakan teknikal pasukan Renault DP World F1 serta membangunkan sistem pemulihan tenaga (ERS).
Menurut ketua unit sukan permotoran Nissan dan Infiniti Tomasso Volpe, "kami berasa amat berbangga dengan penyertaan kami di dalam Formula 1, serta kejayaan yang dikecapi sebelum ini.
"Kami bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran terhadap jenama kami, malah turut memperkukuhkan lagi keupayaan dan kelayakan teknikal kami.
Menerusi kolaborasi dengan Renault F1, Infiniti telah pun membangunkan sebuah projek prototaip yang digelar sebagai Q60 Project Black S yang menampilkan sistem ERS yang diinspirasikan daripada sukan F1.
Ia menampilkan enjin dual-hybrid 3.0 liter V6 yang menghasilkan 563 kuasa kuda, pek bateri 4.4 kWh, e-turbo dan motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang, menjadikan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa kurang empat saat!