KKR komited tampal jalan berlubang dalam tempoh 24 jam

oleh SALINA JALIL|
Kementerian Kerja Raya (KKR) mengulangi komitmennya untuk memastikan setiap jalan raya yang berlubang, akan ditampal dalam tempoh 24 jam.


Menurut KKR dalam satu kenyataan, hari ini, Kempen Zeropothole (Sifar Jalan Berlubang) yang dijalankan dari 2016 hingga 2018, sudah diperkenalkan semula pada Julai lalu.


Katanya, inisiatif kementerian bersama enam syarikat konsesi Jalan Persekutuan di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan, akan memperkukuh komitmen dalam perkhidmatan penyelenggaraan jalan raya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Bawah kempen ini, kerja menampal jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam, iaitu pembaikan sementara susulan penemuan atau aduan kerosakan.

 

"Dalam tempoh tiga hari, pembaikan kekal akan dilakukan seperti dalam kontrak Penyelenggaraan Jalan Persekutuan," katanya.

 

Menurut kenyataan itu lagi, kerosakan 'pothole' merujuk kepada lubang dengan kelebaran di bawah 200 milimeter (mm) hingga 1,000mm.

 

Jika kelebaran lubang adalah di bawah 200mm, teknik tampalan tidak membabitkan potongan tetapi sebaliknya ditampal terus.

 

"Apabila kelebaran lubang adalah hingga 1,000mm, ia memerlukan kaedah pemotongan jalan sebelum menampalnya.

 

"Jika melebihi 1,000mm pula, ia perlu dirawat sebagai kegagalan 'paveman'," katanya.

 

KKR menjelaskan, kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2021 bagi pelaksanaan kerja di Jalan Persekutuan dikenal pasti.

 

Katanya, KKR akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan permukaan jalan tidak cepat rosak akibat lebihan muatan.

 

"Statistik hingga 30 November lalu mendapati sebanyak 4,091 aduan kategori infrastruktur awam diterima, termasuk 1,473 aduan jalan rosak.

 

"Semua aduan sudah diselaraskan dan diambil tindakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

"Sebanyak 200,000 jalan berlubang dikesan dan dibaiki, tahun lalu. Tahun ini hingga Jun lalu pula, 64,000 jalan berlubang sudah direkodkan dan diambil tindakan," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, KKR sentiasa komited memastikan aduan diterima, diselesaikan dengan segera tanpa mengira status pengadu, malah mengamalkan 'No Wrong Door Policy' demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

 

Selain itu, katanya, KKR sentiasa prihatin dan mengambil serius isu berkaitan keselamatan pengguna jalan raya, termasuk isu yang dibangkitkan.

 

"KKR melalui JKR yang berfungsi sebagai Perunding Utama Teknikal negara, mengurus aset bagi Jalan Persekutuan (17,896.036 kilometer) dan Jalan Raya Negeri (236,581.527 kilometer).

 

"Tahun depan, KKR memperuntukkan sebanyak RM1.09 bilion bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan seluruh negara, termasuk bil elektrik, lampu isyarat dan lampu jalan.

 

"Bagi penyenggaraan Jalan Negeri yang turut disenggara oleh JKR, peruntukan adalah bawah kerajaan negeri (bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia atau MARRIS).

 

"Melalui Belanjawan 2021, peruntukan MARRIS telah dinaikkan hingga 20 peratus atau RM50 juta yang mana lebih rendah," katanya.

 

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pada tahun 2023, aduan jalan berlubang yang diterima berjumlah 5,959 dan berjaya ditampal dalam…
Berita Domestik
Menurut kenyataan itu, pemilihan tarikh pemberian tol percuma berkenaan, yang dipersetujui KKR dan…
Berita Domestik
“Dua minggu lalu, saya melawat ke makmal JKR dan di sana pelbagai ‘pavement’ diuji dengan teknik…