Dibina khusus untuk pasaran Indonesia, Hyundai Creta facelift ini membawakan perubahan yang agak ketara dan dilihat mengikuti elemen rekaan yang terdapat pada abangnya Hyundai Tucson.
Ini boleh didapati menerusi elemen Parametric Jewel Pattern Grille, lampu DRL LED yang tersembunyi, serta diikuti dengan rim aloi potongan berlian bersaiz 17 inci.
Sementara unig lampu belakang juga turut diberikan nafas baharu yang lebih moden.
Ruang kabin Hyundai Creta 2022 menampilkan unit panel instrumen digital 10.25 inci, skrin tengah bersaiz lapan inci, brek parkir elektrik, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, bumbung suria panoramik, unit audio Bose, pembersih udara dan juga tempat duduk berventilasi.
Hyundai Creta 2022 turut didatangkan dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, Bantuan Pelanggaran Hadapan, Bantuan Mengikut Lorong, Bantuan Pengekalan Laluan, Bantuan Pelanggaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, serta Kawalan Kestabilan Kenderaan.
Dari segi kuasa, Hyundai Creta 2022 didatangkan dengan enjin 1,498 cc aspirasi natural yang mampu menghasilkan 115 hp dan 144 Nm, dipadankan dengan transmisi manual atau CVT (IVT).
Harga jualan Hyundai Creta 2022 bermula dari Rp 279,000,000 (RM81,449) hingga Rp 399,000,000 (RM116,481).