Lagi cerita Civic Type-R di Indonesia (harga RM320k, sahaja)

oleh HEZERI SAMSURI|

Kali ini giliran Indonesia pula menerima secara rasmi model Civic Type-R generasi kelima dengan harga melebihi RM320k, lantas menjadikan ia model termahal di sana selepas Odyssey.

Indonesia ialah negara ketiga ASEAN selepas Singapura dan Filipina untuk menerima kehadiran Honda Civic Type-R (CTR). 

Ada banyak perubahan pada CTR generasi kelima ini, dan dua yang paling utama ialah ia menggunakan enjin VTEC Turbo dan ia dibina hanya di kilang Honda di Swindon, United Kingdom.

Agak gah bunyinya bila ia dibina di UK tetapi ia akan menjadikan harga CTR ini lebih mahal untuk pasaran-pasaran Asia.

CTR 2

 

Honda dikatakan lebih memberi fokus kepada pasaran Eropah kerana secara tradisinya, selain dari Jepun, Eropah adalah pasaran terbesar untuk model lagenda ini. Ia juga memberikan sedikit nilai prestij untuk pasaran Jepun kerana CTR kali ini akan tertulis di bawah badannya Made In The UK.

Apapun, CTR sudah dilancarkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) di Tangerang, Jakarta hari Khamis lalu dan Careta dibawa oleh Honda Malaysia untuk menjadi saksi betapa gembiranya jiran kita akan kehadiran CTR yang sekian lama dibawa masuk oleh pengimport bebas di sana (di Indonesia juga ada pengimport kereta recond dan AP baharu tetapi harganya sangat mahal, tidak seperti di Malaysia yang lebih murah).

Secara luaran, CTR generasi kelima ini datang dalam bentuk hatchback lima-pintu, satu lagi bukti ia lebih cenderung ke pasaran Eropah.

 

CTR 3

 

Bamper depan belakang yang sangat agresif dengan liang-liang angin yang besar hanya unik kepada CTR. Gril hadapan pula berwarna hitam keseluruhan dan logo H berwarna merah dengan bangga diletakkan di hadapan dan belakang. 

Bodykit keliling dengan garisan halus merah nyata seksi, dan bagi mereka yang gemarkan kepak, spoiler tiang gol Honda berdiri megah di atas pintu boot. 

Jangan risau, spoiler ini diuji di makmal dan memang membantu prestasi CTR ini dalam pengendalian di selekoh dan juga di laluan lurus. Di rumah, si isteri memang boleh menggantungkan tuala dan kain batik selepas malam Jumaat.

CTR 4

 

Elemen terpenting di bahagian belakang kini bukan pada spoiler besar itu, tetapi kepada tiga corong ekzos. Harapnya jangan pula ada yang berkata ia menandakan CTR ini datang dengan enjin tiga silinder pula. Sebenarnya, corong tengah yang sedikit kecil itu digunakan untuk menyelesaikan masalah "droning" atau bunyi melahu yang akan mengganggu ketika ia dipandu di atas lebuhraya untuk masa yang lama.

Untuk mereka yang tidak faham, bunyi ekzos yang kuat ketika kereta bergerak santai dalam kelajuan lebuhraya akan menjadikan pemandu dan penumpang penat. Bunyi menderum yang lama itu dipanggil "droning" dan Honda tahu akan masalah itu pada CTR yang lama.

Ekzos baharu ini direka untuk menghilangkan kesan droning itu agar CTR ini lebih praktikal untuk dibawa ke mana-mana.

CTR 5

 

Di bawah bonnet (bonnet ialah penutup enjin ya, bukan boot atau tempat simpan barang di belakang) atau hood  CTR ini ialah enjin 2.0 liter VTEC Turbo dengan transmisi manual dengan nisbah rapat 6-kelajuan lengkap dengan fungsi rev-matching (sistem komputer membantu memadankan kelajuan enjin dengan gear untuk tukaran lebih laju dan lancar dan lebih seperti pelumba profesional).

Spesifikasi enjin untuk CTR di Indonesia nampaknya mirip dengan CTR Australia - 306 hp pada 6,500 rpm sementara kadar tork maksimum ialah 400 Nm di antara 2,500 hingga 4,500 rpm. Seperti biasa, tradisi CTR bermakna ia hanya memacu roda hadapan (FWD) sahaja tetapi sistem komputer canggih memastikan tidak ada torque-steer yang melampau bila pendikit di tekan rapat ke lantai.

Prestasi sebenarnya sedikit rendah dari CTR di UK dan bila diajukan soalan tersebut, Honda berkata ketiadaan petrol RON98 di beberapa negara Asean dan di Australia menjadi punca kenapa kuasa maksimum terpaksa diturunkan sedikit agar mampu menggunakan bahan api petrol RON 95.

CTR 6
Kesemua CTR kali ini akan mempunyai plet tertulis unit ke berapa dihasilkan.

 

Dari segi kerangka, banyak dilakukan untuk memastikan ia lebih kukuh dan lebih "rigid" tetapi yang terpenting ialah diet yang dipaksa oleh jurutera Honda terhadap CTR ini - ia 16 kg lebih ringan. 

Hasilnya, CTR ialah hatchback FWD terpantas di litar Nurburgring. 

Kelengkapan lain pada CTR yang dilihat di GIIAS ialah roda aloi model warna Berlina hitam bersaiz 20-ini dengan tayar 245/30 R20 dari Continental SportContact 6 (dengarnya tayar ini dihasilkan khas untuk CTR).

Sistem brek dari Brembo pula menempatkan cakera sebesar 350 mm di hadapan (slotted and drilled) dan cakera solid di belakang sebesar 305 mm.

CTR 7

 

Penyerap hentak jenis adaptif dipasang dan disambungkan ke komputer untuk membenarkan opemandu memilih satu dari tiga mode sistem gantungan - Comfort, Sport dan R+. 

Untuk Indonesia lagi, lampu hadapan LED sepenuhnya diberikan, bersekali dengan sistem keyless entry serta butang Push Start serta sistem audio Apple CarPlay dan Android Auto. 

CTR 8

 

Empat warna ditawarkan untuk rakan-rakan Indonesia kita - Rally Red, Championship White (warna paling popular untuk CTR), Brilliant Sporty Blue dan Sonic Grey. Akan ada dua lagi warna untuk CTR ini tahun hadapan di sana - Cyrstal Black Pearl dan Polished Metal.

CTR dengan warna selain dari Champiosnhip White? Ya, ini bukti Honda cuba untuk memasuki pasaran yang sama dengan Golf R atau Mercedes-Benz A45 AMG yang dipenuhi dengan pemandu yang mahukan sedikit kemewahan. 

Sayangnya, pasaran "lifestyle" itu mungkin akan hanya mampu merenung tombol gear manual dan pedal klac pada CTR ini dan cuba memikirkan apakah fungsi kedua-dua item itu.

CTR 9

 

Secara rasminya, Honda Malaysia tidak ada lagi perancangan untuk membawa masuk CTR ini ke Malaysia. Tetapi, Honda Malaysia sudahpun membawa beberapa orang rakan media kami ke Dresden untuk memandu uji CTR ini dan membawa sekumpulan media Malaysia termasuk Careta ke Jakarta untuk menyaksikan pelancaran CTR di sana.

Jika tiada angin, masakan pohon bergoyang. 
Jika tiada Type R, kenapa hatiku bergetar.

Nasihat Careta, kerja kuat dan pastikan simpanan mencukupi untuk melamar Type R kerana harganya pasti melepasi batasan RM300,000 di sini nanti. 

Dan kami akan memandu uji CTR itu dari Malaysia ke Dresden pula, kalau Waze mengizinkan.

 

CTR 10

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Informasi
Bagi menjawab berbagai persoalan tersebut, Careta telah berpeluang untuk mendapatkan jawapan yang…
Berita Domestik
Pada majlis pelancaran yang berlangsung, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia…
Berita Domestik
Di bawah ialah senarai pengedar-pengedar terbabit. Taycon Motor Sdn Bhd - 012-5534821 (Ah Pin)…